Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, maka makin dekatlah tarikh pertarungan penting melibatkan 6 Negeri dalam Pilihan Raya. Setelah gagal membentuk kerajaan Persekutuan, PN bersungguh-sungguh mahu menawan kesemua 6 negeri dengan harapan mampu memburukkan imej PM10 dan memudahkan langkah menumbangkan Kerajaan Perpaduan cetusan YDP Agong.
Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, PH akan mempertahankan penguasaannya disamping menambah nilai kekuatan yang ada apabila jentera BN dilibatkan bersama. Manakala di Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, BN mungkin bakal memimpin jentera disamping PH akan menjadi faktor sokongan yang ampuh menyingkirkan PN.
AMANAH sebagai sebuah parti anggota PH tidaklah selalu menjadi perhatian ramai, namun karisma dan ketokohan pimpinan AMANAH yang mampu merempuh tohmahan PN khususnya PAS sering menjadi tarikan media dan orang ramai. Dalam PRN kali ini, adakah AMANAH akan terus menyajikan calon yang seakan sama lantangnya dengan Sany Hamzan yang berjaya menggegarkan Dewan Undangan Negeri Selangor penggal 2018-2023. Atau AMANAH mempunyai calon-calon yang profesional untuk ditempatkan dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi sama-sama meneruskan kemajuan Selangor seperti mana yang telah dijalankan oleh Ir. Izham Hashim dan Dr. Siti Mariah Mahmud.
Bagi penulis, AMANAH mempunya barisan calon yang lengkap kedua-dua aspek yang penulis nyatakan tadi, dengan syarat calon yang bakal diperturunkan di Selangor oleh AMANAH merupakan muka baharu. Malah lebih berani lagi, AMANAH perlu membariskan calon dari anak-anak muda bagi memastikan PH menguasai undi anak muda dalam PRN akan datang. Penulis yakin, barisan anak muda yang bakal diperturunkan mampu mengatasi sentimen perkauman yang bakal dimainkan pihak PN.
WAN ANWAR WAN IBRAHIM
Pengamal Perundangan yang bertapak dalam politik bermula sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional satu ketika dahulu berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes perundangan di Malaysia. Beliau kini merupakan Ketua AMANAH Kawasan Selayang pernah diberikan amanah sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pasca PRU ke-14. Baru menjangkau usia 39 tahun, Wan Anwar yang turut dikenali atas nama panggilan WAWI telah didedahkan dengan politik pendemokrasian ketika menuntut di Univeristi Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Selaku Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, beliau sentiasa berada di barisan hadapan mempertahankan kedudukan kerajaan PH khususnya kepimpinan AMANAH merangkumi dasar-dasar kerajaan serta menepis fitnah pembangkang. Dibawah kepimpinan beliau, Biro Komunikasi AMANAH Selangor dijenamanakan sebagai KomSel manakala sebuah portal Selangor Today berjaya diwujudkan. Selain lengok bahasa dan susunan ayat yang tersusun, pidato Wan Anwar diisi dengan data dan fakta yang mampu menjelaskan semua aspek yang diulas memandangkan beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang(Kepujian) dan (Undang-Undang Perbankan) UIAM. Maka AMANAH wajar memperturunkan beliau menjadi calon PRN kali ini bagi memastikan sokongan anak muda dan golongan profesional menyokong AMANAH.
ABBAS ADZMI
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional mungkin figura yang dikatakan bakal menggantikan Sany Hamzan dalam Sidang DUN akan datang jika Abbas diberikan peluang sebagai calon dan menang PRN akan datang. Pemimpin yang mampu memobilisasikan tenaga rakyat dan NGO untuk membuat bantahan kepada kerajaan sangat kurang dalam kepimpinan politik hari ini, namun beliau antara orang yang berkemahiran. Masih ingat dengan himpunan anak muda mendesak Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM meletakkan jawatan satu ketika dahulu? Beliaulah antara sosok yang menggerakkan sokongan rakyat turun di jalananan. Lebih menarik, Abbas pernah duduk dalam Dewan Pemuda PAS Shah Alam sebelum menyertai AMANAH, maka segala aspek dan strategi pemimpin PAS dibawah pengetahuan beliau.
Pelapis kepimpinan AMANAH yang berumur 43 tahun ini sering menjawab tohmahan dangkal yang tidak masuk akal sering dikeluarkan oleh kepimpinan PAS. Satu ketika penulis mahu menobatkan beliau sebagai panglima perang utama yang bakal berhadapan dengan politik pihak lawan menggunakan sentimen kaum dan fitnah agar undi pengundi atas pagar tidak terpesong menyokong PN. Abbas merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan juga merupakan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Selangor. Erti kata lain, kerja dilapangan menggerakn jenter boleh diserahkan kepada Abbas untuk memimpin dalam masa yang sama menyemai proses perkaderan yang menjadi tunjang kelangsungan AMANAH pada masa hadapan. Kepimpinan AMANAH harus terbuka hati meletakkan Abbas sebagai calon dalam PRN akan datang. Membiarkan sepenggal lagi akan melemahkan momentum yang telah lama digerakkan.
ANFAAL SAARI
Pemimpin No. 3 Angkatan Wanita AMANAH Nasional ini mempunyai nilai personaliti yang sedikit berbeza dengan Ketua dan Mantan Ketuanya Aiman Athirah dan Dr. Siti Mariah Mahmud. Beliau mempunyai personaliti lebih lembut dan mesra berbanding bossnya yang jelas dengan cara bercakap dan berjalan sangat tegas dan pantas. Pemimpin wanita AMANAH yang berumur 44 tahun ini bakal mewarisi kepimpinan kaum hawa dalam AMANAH kelak atas potensi beliau yang lengkap dari aspek kepimpinan, pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan. Terlibat sejak awal dalam penubuhan AMANAH, anak kelahiran Birmingham, United Kingdom ini memegang portfolio antarabangsa dalam AWAN Nasional. Beliau juga kerap melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan kerjaya wanita serta pernah menghasil buku karya beliau sendiri.
Beliau merupakan figura yang paling layak meneruskan perjuangan ayahandanya tokoh reformasi, Saari Sungib memandangkan kini Anwar Ibrahim sebagai pencetus kebangkitan reformasi telah diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10. Oleh itu, pelapis ADN Hulu Kelang itu perlu segera diketengahkan dalam politik arus perdana selaku pembuat dasar sekurangnya sebagai ADUN untuk penggal akan datang. kini beliau berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, satu langkah penting sebelum beliau diangkat sebagai seorang Yang Berhomat. Mewakili suara wanita, dunia buku, kelestarian alam dan anak muda, Anfaal Saari wajar diberikan peluang sebagai calon oleh AMANAH.
DANIAL AL-RASHID
Siapa sangka anak Seniman Harun Salim Bachik ini memilih jalan yang sedikit berbeza dari ayahnya. Namun beliau sempat menyatakan bahawa Almarhum ayahnya sentiasa menyokong perjuangan murni Ketua Pemuda AMANAH Selangor ini. Tidak membuang masa yang lama, selepas dipilih sebagai peneraju Pemuda AMANAH Selangor, beliau memulakan langkah merombak semula jawatankuasa Pemuda bagi memecahkan tembok-tembok perbalahan pelbagai pihak kesan pemilihan pucuk pimpinan sebelum ini. Dari satu sudut, beliau berjaya menjadi penyatu kepada anak-anak buahnya. Danial kini menerajui Jabatan Anak-Anak Istimewa Selangor (ANIS) jabatan yang baru diwujudkan selepas Dr. Siti Mariah Mahmud dilantik sebagai Exco Pembangunan Keluaga Selangor. Boleh dikatakan perihal pembangunan keluarga dan kanak-kanak di Selangor, Danial antara tulang belakang membantu Dr. Siti Mariah.
Ketua Angkatan Muda Harapan Selangor ini perlulah diberikan ruang sebaiknya agar beliau boleh dinobatkan sebagai Yang Berhormat memandangkan beliau mewakili sayap pemuda dalam PH. Sedangkan BN mempunyai Ketua Pemudanya bertaraf ADUN, maka PH juga jangan ketinggalan membawa masuk nama-nama muda dan segar dalam politik selangor. Dalam politik Malaysia, jarang dibarisi oleh politikus yang sangat komited pada pendidikan seperti Khir Johari dan Maszlee Malik. Maka penulis melihat, Danial mempunya keazaman yang tinggi dalam memperkasakan sistem pendidikan khususnya buat anak-anak istimewa.
Penulis mampu menulis secara ringkas 4 figura yang penulis ramalkan akan diturunkan sebagai calon AMANAH dalam PRN Selangor akan datang. Apabila nama mereka telah diumumkan secara rasmi nanti, penulis akan menulis lebih detail berdasarkan pandangan umum. Selamat berjuang.