SelangorToday

MEJA PENGARANG | REGU TAKRAW MALAYSIA TIDAK LAGI DIAYAM-AYAMKAN OLEH THAILAND

Kejohanan ISTAF Sepaktakraw World Cup 2024 telah pun melabuhkkan tirainya semalam. Setelah berlangsung selama lebih seminggu, sukan tradisi rakyat Malaysia ini mula dibicarakan oleh masyarakat awam.

Rabu lalu, regu Malaysia berjaya mencetuskan fenomena sepaktakraw negara apabila Malaysia berjaya menumpaskan regu Thailand melalui acara beregu(double) dan antara regu. Melalui pemain Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi dan Baihakki A’ripin, Malaysia melakar sejarah baharu dengan membenamkan regu yang sentiasa mendominasi sukan sepakrakraw dunia sejak 30 tahun yang lalu.

Manakala regu yang dianggotai oleh Syahir Rosdi, Azlan Alias, Farhan Adam, Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Shahalril Aiman Halim turut berjaya mengalahkan regu terkuat Thailand dengan mata 2-0 bagi acara regu. Namun apabila sampai ke kemuncak kejohanan, bagi acara berpasukan, Malaysia gagal menamatkan kemarau yang berpanjangan apabila regu kedua dan ketiga Malaysia gagal mengalahkan regu Thailand, membolehkan Thailand diisytiharkan pemenang acara berpasukan dengan mata 2-1.

Tidak lagi dipandang rendah oleh Thailand

Apa pun keputusan yang telah pun tertulis, persembahan skuad kebangsaan dalam acara yang berlangsung di Stadium Titiwangsa ini telah mengubah pandangan Thailand kepada Malaysia. Jika dalam tempoh 10 tahun kebekalangan ini, Thailand tidak menumpukan seluruh kekuatannya untuk mengalahkan Malaysia, hal ini disebabkan prestasi Malaysia yang memang berada pada tahap sederhana. Sebaliknya hari ini, Malaysia tidak lagi diayam-ayamkan oleh Thailand meskipun gagal meraih pingat emas untuk acara berpasukan.

Thailand mula sedar, keampuhan pasukan mereka dalam sukan sepaktakraw sudah pun tergugat, malah ia bakal terus digugat dalam siri kejohanan antarabangsa yang bakal diadakan kelak. Dominasi mereka dalam pelbagai acara sepaktakraw telah pun dipecahkan oleh pasukan Malaysia yang dibimbing oleh Ahmad Jais Baharun selaku Ketua Jurulatih. Setiap strategi yang disusun oleh Thailand selepas ini akan mengutamakan percaturan mereka apabila berhadapan dengan Malaysia.

Prestasi Skuad Kebangsaan yang membanggakan

Ini sangat membanggakan, kedudukan Malaysia yang sebelum ini jauh ketinggalan mula meningkat dengan mendadak. Prestasi Malaysia juga mengalami peningkatan yang sangat banyak. Dari segi keupayaan kemahiran pemain, Malaysia telah kembali pulih daripada sebelum ini. Latihan yang dibentuk telah berjaya menambah kemahiran mereka sehinggakan Thailand gagal menemui kelompongan dalam skuad kebangsaan.

Semangat mereka yang benar-benar menyerlah telah merobek keegoan Thailand yang jelas memaparkan tekanan mereka ketika berhadapan dengan Malaysia. Pemain Malaysia menganggap kejohanan ini satu langkah hidup atau mati sukan sepaktakraw Malaysia, kerana itu fokus dan keupayaan mereka menyerlah semaksimanya. Perubahan corak latihan skuad kebangsaan juga pastinya mempengaruhi prestasinya. Turut dibantu oleh Zulkarnain Ariff dan Dato’ Abu Jimi selaku Pengurus, Ahmad Jais berjaya menyediakan pasukan yang terbaik setakat ini.

Faktor yang menyebelahi Malaysia

Ada dua faktor lain yang dianggap penulis mempengaruhi kejayaan Malaysia bagi acara double dan regu. Pertamanya sistem kiraan mata 15 telah menyebelahi Malaysia dalam dua cara tersebut. Tempoh yang pendek itu telah merintis jalan cepat kepada Malaysia untuk menang. Andai kata sistem kiraan mata adalah 21, tempoh yang panjang menyebabkan momentum pemain kebangsaan diperlukan lebih lama dan ini memberi ruang kepada Thailand mengejar dan memintas Malaysia.

Kedua, servis(sepak mula) secara bergilir sekali itu telah berjaya mengatasi kekurangan tekong Malaysia apabila servisnya mengalami masalah. Dengan sekali servis bermasalah, minda pemain direset semula apabila regu lawan pula membuat servis. Berbanding sebelum ini, menggunakan sistem servis bergilir tiga kali, apabila sekali servis tekong Malaysia terkandas ia meleret sehingga servis kedua dan ketiga. Malaysia telah menyerahkan 3 mata kepada pihak lawan seterusnya tertinggal jauh.  Sebab itu sistem servis bergilir telah menyebelahi pasukan Malaysia ketika ini.

Worldcup menyatukan rakyat Malaysia

Kejohanan yang berlangsung setelah PSM berjaya menyelesaikan konflik mereka dengan ISTAF itu dianggap berjaya oleh ramai pihak. Sebagai pemerhati, kejohanan tersebut berjaya menyatukan rakyat Malaysia. Umum mengetahui sejak 2020, suasana di Malaysia dipengaruhi oleh situasi politik negara yang panas dan mencabar. Percaturan demi percaturan politik berlaku, menyebabkan kesepaduan rakyat Malaysia terbelah.

Malaysia yang menolak kesediaan untuk menganjurkan Sukan Komenwel dianggap tepat meskipun jika atlet Malaysia berada pada prestasi cemerlang, ia akan menjayakan kesepaduan rakyat atas nama pasukan Malaysia. Tetapi ia tidak berlaku atas faktor yang lebih relevan.

Maka Kejohanan ISTAF Sepaktakraw Worldcup 2024 di Kuala Lumpur ini menjadi pencetus kepada kebersamaan rakyat Malaysia memandangkan kita menjadi tuan rumah dan skuad Malaysia berjaya berprestasi membanggakan.

Tahniah diucapkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia melalui Presidennya, Dato’ Mohd. Sumali Reduan yang berjaya mengemudi persatuan dan skuad dengan memberi kebebasan jurulatih berkarya, kerjasama semua aktivis sukan sepaktakraw termasuk yang dulu merupakan kelompok anti-PSM serta keupayaan menganjurkan kejohanan berprestij ini.

Syabas juga buat Kementerian Belia dan Sukan melalui Menterinya Hannah Yeoh yang memberikan peluang dan ruang untuk sukan sepaktakraw di Malaysia kembali pulih dan cemerlang. Seterusnya terima kasih dan tahniah buat pengurus, jurulatih dan pemain kebangsaan yang telah berusaha melakar sejarah baru buat sukan sepaktakraw Malaysia. Pengorbanan anda akan dikenang sebagai perjuangan kepada negara.

Akhirnya, buat penyokong sepaktakraw Malaysia, anda sentiasa cekal dan yakin akan keupayaan Malaysia. Tahniah.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version