Tulisan Ketua Pengarang Portal Selangor Today tentang Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Timbalan Presiden AMANAH.
Hampir 2 minggu berlaku, Almarhum Salahuddin Ayub meninggalkan kita semua. Penulis yang kebetulan telah berjanji untuk bertemu beliau pada hari Sabtu setelah almarhum pulang dari Kedah namun tidak kesampaian apabila hari Jumaat almarhum sakit dan pergi pada hari Ahadnya.
- Meskipun almarhum bukanlah seorang menteri yang berkhidmat begitu lama dalam kabinet Malaysia, namun keberadaan beliau selama 22 bulan di zaman HARAPAN dan 7 bulan di zaman PERPADUAN telah meninggalkan impak yang sangat besar bagi negara dan rakyat khususnya.
- Dalam tempoh beberapa bulan kerajaan PERPADUAN dibentuk, almarhum antara nama yang sentiasa disebut-sebut oleh rakyat. Bukan atas faktor portfolio yang beliau pikul sedang menjadi perhatian umum iaitu ‘kos sara hidup’ semata-mata tetapi yang lebih penting almarhum dan pasukannya berjaya mengawal keadaan tersebut dan mengubah persepsi yang berat itu menjadi peluang besar almarhum membantu rakyat secara maksima.
- Ini nilai yang berbeza dengan PN yang satu ketika dahulu yang memerintah selama 33 bulan. Dalam tempoh itu banyak krisis dan cabaran yang berlaku di negara kita, sepatutnya iai menjadi ruang kepada pemimpin PN membantu dan berbakti sebanyak boleh kepada rakyat, malangnya mereka meninggalkan peluang tersebut dan terus bermanipulasi dengan keadaan demi kenutungan mereka sendiri.
- Berbalik kepada perihal almarhum yang pernah menjadi Ketau Dewan Pemuda PAS Pusat satu ketika dahulu, almarhum amat memahami masalah dan tekanan yang dihadapi rakyat marhaen ketika ini disebabkan beliau sendiri pernah berada pada tahap yang sangat sulit awal kehidupan beliau dan isteri, maka resam yang beliau hadapi diterjemahkan dalam pentadbirannya demi memastikan rakyat tidak mengalami nasib yang sukar itu.
- Beliau faham perasaan keluarga yang tidak makan kerana kekurangan wang, maka beliau perkenalkan ‘Menu Rahmah’. Inisiatif ini telah memperlihatkan dekatnya jiwa beliau dengan rakyat bahawan serta punya kekuatan diplomasi yang tinggi apabila berjaya meyakinkan pihak peniaga untuk bersama-sama dengan ‘Menu Rahmah’ ini.
- Kenangan meninggalkan anak isteri di Johor demi perjuangan di Kuala Lumpur meninggalkan bekas-bekas kenangan yang terpahat dalam sanubarinya, mungkin dengan kenangan itu almarhum menyedari akan kepayahan keluarga miskin memperoleh keperluan yang cukup seperti lampin pakai buang dan susu. Maka dengan tekad almarhum berunding dengan pengeluar, adanya satu inisiatif Rahmah Ibu dan Si Manja yang dilancarkan beberapa bulan yang lalu. Dengan harga yang mampu dibeli, ia cukup melegakan keluarga yang serba daif dan susah.
- Ada sebilangan yang perli inisiatif yang almarhum buat dengan mengatakan semua benda henda di ‘Rahmah’kan, tapi sedarkan kita semua dengan inisiatif inilah anak-anak yang sedang menuntut di IPT dapat makan dan minum secukupnya apabila menu rahmah diperluaskan di dalam IPT. Nampak kecil dan mudah, tetapi impaknya kepada prestasi anak-anak di IPT boleh ditingkatkan setelah perihal makan minum mereka terjamin.
- Aura seseorang bukan hanya terletak kepada ketegasan dan lantang mereka dalam mengurus sesuatu isu, sebaliknya jika syarikat gergasi besar boleh duduk bersama menyokong dan membantu inisitatif yang diperkenalkan juga adalah satu tanda kewibawaan kita. Bayangkan KFC sebagai syarikat gergasi ‘fast food’ boleh bersama dengan almarhum memperkenalkan menu rahmah KFC untuk rakyat. Betapa kuatnya aura atau pengaruh almarhum sehingga ia berjaya diterjemahkan oleh semua pihak.
- Almarhum bukanlah ahli politik yang turun dari kayangan, beliau mendaki ke puncak kepimpinan dari bawah sebagai pemimpin cawangan. Hasil berkat istiqamah almarhum dan sikap menentang arus apabila jarang sekali ketika itu orang Johor menyokong PAS disebabkan oleh Johor adalah kubu UMNO dan almarhum antara yang berani bersama PAS, almarhum diberi kepercayaan sehingga ditugaskan memecah kubu UMNO itu dalam PRU 2013 dan 2018. Kepercayaan yang tinggi itu dibuktikan apabila almarhum Tuan Guru Nik Aziz sendiri menghantar beliau untuk bertanding di Pulai sebelum berjaya memenanginya pada tahun 2018.
- Didikan berani berjuang disemai dalam diri beliau oleh mantan Presiden PAS, almarhum Ustaz Fadzil Noor termasuk kepada Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Dr. Hatta dan Dr. Dzulkefly Ahmad. Kini mereka semua dalam kerajaan perpaduan bersama Anwar Ibrahim menterjemahkan nilai perjuangan mereka dalam pentadbiran. Maka Payung Rahmah yang terkandung pelbagai inisiatif meringankan beban rakyat diperkenalkan sehingga rakyat mengenang Salahuddin Ayub sebagai Menteri Rahmah bukannya pemimpin pembangkang lagi.
- 30-40 tahun berjuang sebagai pembangkang, 29 bulan sebagai menteri, rakyat kenang beliau sebagai menteri. Lihatlah kesan seorang yang jujur dan amanah menjalankan tugas dikenang selama-lamanya meskipun memimpin dalam tempoh yang singkat. Almarhum benar-benar membuktikan kepada masyarakat melayu Islam bahawa Islam bukan sekadar nama, malah Islam yang diterjemahkan dalam kepimpinan akan membantu makan minum rakyatnya mencukupi dan terbela.
Selamat berehat Menteri Rahmah untuk rakyat, AMANAH untuk negara!!
Cikgu Syazmir HN