SelangorToday

MEJA PENGARANG | SEBAB-SEBAB PARTI AMANAH AKAN MENJADI PILIHAN ORANG MELAYU ISLAM

Hari demi hari gendang Pilihan Raya Umum dipalu bertalu-talu. Khususnya di pihak Barisan Nasional (BN) mahu PRU diadakan segera. Tambah Presiden UMNO sendiri mengemukakan sebab-sebab mengapa PRU harus diadakan secepat mungkin. Namun sehingga hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri masih dilihat belum cenderung untuk membubarkan Parlimen meskipun didesak oleh pimpinan UMNO sendiri.

Baru-baru ini juga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menubuhkan Gagasan Tanah Air (GTA) yang diasaskan bersama partinya PEJUANG, parti pimpinan Ibrahim Ali, PUTRA dan beberapa parti lain berasaskan melayu Islam. Kata Tun, penubuhan gagasan ini untuk dijadikan pilihan kepada orang melayu bergantung harap dalam PRU akan datang agar melayu kembali dipulihkan kedudukannya. Tambah beliau, UMNO sebagai parti harapan orang melayu sebelum ini tidak boleh dipertaut lagi akibat masalah korupsi dan integriti parti.

Apabila menyebut soal kedudukan melayu Islam, kita lihat semua parti berasaskan melayu yang mempunyai pengaruh dan kedudukan yang besar pernah menjadi kerajaan di Putrajaya. UMNO, PAS, AMANAH dan BERSATU, kesemuanya pernah menjadi menteri dan timbalan menteri di peringkat kerajaan persekutuan. Maka dalam PRU akan datang, pastinya selain mengikut sentimen dan ideologi yang ditaja berhari-hari, orang melayu akan mengukur sejauh mana keupayaan parti-parti yang ada memimpin kementerian masing-masing. Malah orang melayu juga turut melihat sejauh mana pemimpin-pemimpin ini menggunakan kedudukan dan tanggungjawab yang ada untuk membangunkan bangsa melayu.

Bagi penulis, selain UMNO atas kapasitinya yang memerintah dalam tempoh yang lama iaitu lebih 60 tahun, AMANAH merupakan parti melayu Islam yang telah memberikan kesan yang besar kepada kedudukan negara dan politik Malaysia. Orang-orang melayu mungkin perlu mempertimbangkan sebab-sebab yang penulis catatkan ini sama ada AMANAH layak dipilih sebagai parti untuk orang Melayu Islam berharap dan berpaut atau tidak?

Ketika AMANAH diberikan tanggungjawab sebagai pemerintah, 5 menteri yang dilantik daripada kalangan ahli parlimen AMANAH menunjukkan prestasi yang luar biasa. Meskipun diburukkan imej oleh penyerang siber tajaan pesaing mereka, menteri AMANAH berjaya memberikan impak jangka masa panjang kepada keadaan Malaysia hari ini. Pertama, Dr. Dzulkefly Ahmad yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah memperkenalkan arahan melarang orang awam menghisap rokok di kedai makan. Mulanya ia membangkitkan kemarahan dan tentangan hebat bukan setakat pihak lawan, malah rakan dalam PH sendiri. Akhirnya semua menyedari bahawa ia adalah tindakan paling tepat untuk membentuk kembali sebuah masyarakat sihat dan cergas. Kini, melalui dasar yang dimulakan oleh Dr. Dzul, Khairy Jamaludin meneruskan agendanya dengan akan menguatkuasakan larangan merokok kepada mereka yang lahir pada dan selepas tahun 2017. Inilah satu-satunya buah tangan Dr. Dzul yang akan dikenang sebagai usaha menyihatkan orang melayu dalam kehidupan.

Mohamad Sabu pula meski diejek dan dipandang rendah apabila diberikan amanah sebagai Menteri Pertahanan juga turut memberikan buah tangan yang luar biasa kepada masyarakat umum. Buat pertama kalinya, di parlimen, Mohamad selaku MenHan membentangkan Kertas Putih Pertahanan Negara sebagai salah satu usaha menjadikan amalan pentadbiran pertahanan negara yang amat penting ini di lakukan secara telus dan diketahui oleh pihak parlimen sebagai anggota penggubal undang-undang tertinggi negara. Bukankah pertahanan negara merupakan satu sektor terpenting dan ia juga merupakan satu elemen penting kepada kelangsungan hidup orang melayu Islam, oleh itu tindakan Presiden AMANAH itu memang wajar.

Ertinya keberadaan mereka dalam pentadbiran di Putrajaya bukan lah sekadar memanaskan kerusi yang diberikan, sebaliknya ia memberikan impak yang besar kepada kelangsungan hidup masyarakat khususnya orang melayu Islam.

Selain itu, dasar agama yang dibawa oleh AMANAH mendapat tempat yang diiktiraf oleh pucuk pimpinan negara. Melalui Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Dasar Islam Rahmatan Lil Alamin dijadikan sebagai dasar Islam Malaysia ketika Pakatan Harapan memerintah. Ia bukan sekadar dasar syok sendiri daripada AMANAH, malah ia diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu sebagai dasar Islam negara. Keupayaan Dr. Mujahid amat luar biasa dalam mengangkat kedudukan Islam dalam pentadbiran Malaysia sedangkan PAS sendiri sebagai parti yang diletakkan perkataan Islam tidak berupaya memperkenalkan dasar Islam beliau meski sudah memerintah lebih 2 tahun.

Daripada aspek politik pula, AMANAH terbukti sebagai parti yang tidak pernah meninggalkan sahabat ketika berpakat dalam politik. Sehingga hari ini AMANAH kekal bersama KEADILAN dan DAP dalam PH. Sebaliknya PAS sebuah parti pesaing AMANAH jelas sentiasa membelakangkan hubungan setia kawan apabila munculnya peluang baru yang mungkin menguntungkan PAS. Siapa kah yang membatalkan hubungan dalam Pakatan Rakyat meski mereka masih memerintah Selangor dan Pulau Pinang? Siapakah yang dulunya berkobar-kobar dalam Muafakat Nasional, tetapi meninggalkannya setelah wujudnya Perikatan Nasional? Apa yang pastinya, dengan tidak wujudnya semangat setia kawan ini, ia lebih mendorong keadaan politik negara lebih kucar-kacir dan huru-hara. Keadaan yang tidak stabil ini akan memberikan impak kepada kelangsungan hidup orang melayu.

Akhirnya, kepimpinan AMANAH yang bergerak secara kolektif sebenarnya telah membenamkan sikap fanatik dan taksub penyokong parti kepada tokoh mahupun individu. Bergerak secara berkumpulan menuntut tahap kerjasama dan berpasukan yang tinggi. Tidak ada seorang pun yang boleh mendabik dada sebagai perwira tanpa dokongan pasukan. Oleh itu, ia benar-benar meleburkan amalan mengangungkan tokoh sehingga memudaratkan silaturahim khususnya amalam takfiri. Sedarkah bahawa amalan takfiri dan pecah perintah sebenarnya telah melemah keupayaan orang melayu?

Oleh itu, penulis merasakan AMANAH akan menjadi pilihan orang melayu dalam PRU akan datang setelah menilai dan melihat keupayaan AMANAH sebagai sebuah parti politik dan parti yang pernah mentadbir negara. Keupayaan orang melayu Islam akan menjadi faktor penting kepada kelangsungan dan kemajuan negara.

Exit mobile version