SelangorToday

MEJA PENGARANG | SIAPA MENTERI BESAR SELANGOR JIKA BN YAKIN MENANG?

Hampir setiap minggu kesemua parti-parti politik ibarat sedang mengasah pisau untuk memastikan senjata mereka tajam dan kemas untuk bertempur dalam Pilihan Raya Umum akan datang. selain AMANAH yang menghimpun seluruh jentera PRUnya dari seluruh negara di Shah Alam minggu lalu, KEADILAN juga telah berjaya melantik panglima perang mereka masing-masing di peringkat negeri. Sedang PAS dan BN mengishtiharkan bahawa mereka berjaya untuk mengagihkan 27 kerusi bagi mengelakkan pertembungan dalam PRU, DAP mengekalkan momentum sebagai parti paling bersedia dan berdisiplin.

Di Selangor, Menteri Kewangan telah memulakan langkahnya untuk turun sekerap mungkin untuk bertemu rakyat jelata sedang BN telah mengumumkan beliau selaku Bendahari BN Selangor. berbagai-bagai pengumuman yang dibuat oleh tokoh perbankan yang dibawa masuk oleh Perikatan Nasional ke dalam gelanggang politik ini. Seolah-olah Selangor sudah pun menjadi anak angkat kepada Kementerian Kewangan Malaysia. beruntungkah rakyat Selangor dengan keberadaan Menteri Kewangan di Selangor ini sedang Selangor telah pun menikmati inisitiaf yang diberikan oleh kerajaan PH di Selangor sejak 2008.

Tumpuan BN kali ini menawan Selangor bukanlah satu yang kepalang. Ia impian yang tertangguh sejak lama dahulu. Maka kali ini, setelah kecelaruan dan perpecahan PH apabila Azmin Ali meninggalkan PH, ia merupakan satu petunjukkan bahawa BN boleh menggunakan ruang itu untuk menawan kembali negeri termaju itu.

Namun, jika benar BN yakin untuk menawan Selangor dalam PRU kali ini, pastinya BN telah pun bersedia siapakah yang akan mengetuai jentera serta siapa yang akan mengepalai kerajaan bila BN terpilih nanti? Keyakinan BN akan terserlah apabila mereka berani menamakan seorang calon sebagai menteri besar. Dalam masa yang sama ia juga akan memastikan rakyat tidak tertipu lagi dengan janji mereka dalam PRN Johor yang menyatakan bahawa Menteri Besar hanyalah Hasni Mohamad, tiba-tiba saat mengangkat sumpah, figura Onn Hafiz dipilih. Silap yang dilakukan oleh BN di Johor adalah berkeyakinan bahawa nama Hasni akan dipilih sebagai Menteri Besar, sedangkan memilih Menteri Besar adalah budi bicara Sultan. Maka tidak boleh sebarang janji BN taburkan kepada rakyat.

Singgah pula di Melaka, meski PRN yang diadakan, BN menang dengan begitu selesa sekali, dan acap kali nama Sulaiman Md Ali dipilih sebagai Ketua Menteri dan telah pun menjadi Ketua Menteri, tetapi sehingga hari ini khabar angin sentiasa bertiup yang mana BN akan menukar Ketua Menteri Melaka. Ini adalah salah satu ketidak stabilan yang dijaja oleh BN di Melaka sedang ia masih kucar-kacir sehingga hari ini.

Berbalik kepada konteks Selangor, BN akan nampak lebih yakin dan kuat apabila calon Menteri Besar dinamakan. Tidak semestinya calon seorang, mungkin juga boleh menamkan tiga calon sebagai menghormati kuasa Sultan. Berbeza dengan PH, sebagai penyandang di Selangor, keutamaan mestilah diberikan kepada Amiruddin Shari memandangkan beliau mengepalai PH di Selangor serta mengondol prestasi yang baik sebagai Menteri Besar.

BN pula sedikit berbeza, sedang Noh Omar Pengerusi BN Selangor bertanding di Parlimen Tanjung Karang, tak mungkin beliau dicalon sebagai Menteri Besar. Begitu juga Menteri Kewangan, Tg Zafrul juga dikatakan akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor, maka sudah pasti Tg Zafrul bukan calon Menteri Besar Selangor.

Adakah Isham Jalil, Jamal Md Yunos atau kembalinya Dr. Khir Toyo sebagai calon Menteri Besar. BN Selangor wajar memikirkannya segera jika benar-benar BN yakin mampu menawan Selangor. Pengumuman tersebut juga mampu mengelakkan kucar-kacir yang sentiasa berlaku di Melaka dan tidak ada lawak ‘Barang Order lain, Barang Sampai Lain’ yang terjadi di Johor.

Exit mobile version