
—fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Cerita mengenai khabar-khabar angin bahawa Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang yang mengemudi bahtera politik itu sejak 2003 akan mengundurkan diri dari jawatan yang disandang menghangatkan dunia politik hari ini. Setelah kehangatan pemilihan KEADILAN dan pengumuman mengejut oleh Tengku Zafrul Tengku Aziz, pemerhati politik kini menumpukan kepada parti Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka itu lagi.
Pun begitu berita ini bukanlah bermula secara massa oleh pihak dalaman PAS, namun ia disensasikan secara meluaskan ole sebuah akhbar arus perdana yang berpengaruh. Keadaan ini boleh dipertimbangkan sekadar khabar angin untuk kekal menghangatkan suhu politik era MADANI ataupun ia benar-benar berlaku. Masakan cerita ini boleh dibentuk oleh editor akhbar tanpa input dan kehendak pimpinan yang berada dalam PAS.

Sebenarnya cerita Haji Hadi berundur ini bukanlah hangat pada hari ini sahaja. Sejak awal kepimpinannya dahulu pun, cerita Hj Hadi perlu diundurkan atau berundur sudah berkumandang. Atas faktor beliau sama-sama naik dalam kepimpinan dengan Ustaz Fadzil Noor yang menjadi Presiden PAS sebelum Hj Hadi, ketika beliau baru memerintah, imejnya telah dilihat terlalu lama dalam kepimpinan PAS. Sedangkan beliau adalah Timbalan Presiden sahaja. Populariti beliau yang memuncak sejak 80an dan semasa beliau menjadi pembantu kepada Ustaz Fadzil, awam melihat Haji Hadi juga peneraju teragung PAS ketika itu. Lantas apabila masuk abad ke-21, Hj Hadi dianggap tokoh politik yang telah veteran dan wajar ditukar ganti.
Ketika itu, Dr Nasharudin Mat Isa lah antara figura yang dingin-inginkan oleh ahli PAS untuk diletakkan sebagai Presiden PAS yang ke-8. Keupayaannya dalam menguasai bidang agama dan perundangan menjadi politikus agamawan profesional itu layak memimpin di zaman politik dunia yang serba canggih, moden dan mencabar. Pun begitu Dr Nasharudin tersingkir dalam pertembungan pendekatan politik antara kelompok konservatif dalam PAS dan kelompok moderat yang mula mendominasi kepimpinan PAS pasca perginya Ustaz Fadzil mengadap ilahi.

Pasca PRU 2018, merupakan tahun yang sesuai bagi Haji Hadi mengundurkan diri. Kedudukan PAS yang statik serta perlu mencari kompas baharu dalam politik Malaysia menyesuaikan Haji Hadi berundur dan dipilih sebagai Mursyidul AM PAS. Namun ketidakstabilan politik serta peluang PAS menyertai kerajaan persekutuan bersama PPBM dan BN telah mendorong Haji Hadi kekal disitu serta memanfaatkan peluang PAS sebagai kerajaan. Ternyata berhasil apabila PAS menjadi parti terbesar dominasi di Dewan Rakyat serta menguasai empat negeri pasca PRU ke-15.
Haji Hadi sebenarnya bebas untuk berundur pada bila-bila masa, namun atas faktor pertembungan antara kelompok konservatif dan kelompok moderat dalam PAS, memaksa Haji Hadi dikekalkan sebagai peneraju PAS. Bagi kelompok konservatif yang terdiri dari ahli PAS yang berkelulusan agama sepenuhnya, pengekalan Haji Hadi sebagai orang nombor satu dalam PAS mampu mengekang kemaraan kelompok moderat naik ke puncak kepimpinan PAS. Haji Hadi sebagai tokoh agung dalam PAS yang perlu dihormati oleh setiap pihak. Justeru agamawan yang bersandarkan atas populariti Haji Hadi akan dikekalkan dalam posisi strategik mereka.

Slogan ‘Kami Sayang Ulamak’ yang dijaja oleh Geng Ustaz dalam PAS merupakan bahan kempen utama mereka bagi mengekalkan kedudukan kelompok konservatif kekal dalam kepimpinan PAS. Sejak pertembungan dengan kelompok moderat yang kini telah pun menjadi pemimpin Parti AMANAH Negara, parti kerajaan yang memerintah, propaganda ini dimainkan. Sedang isu asas yang sedang berlaku adalah perbezaan pendekatan dalam berpolitik, bukannya siapa sayang ulamak, siapa yang tidak sayang ulamak. Namun ia digunakan bagi memastikan sokongan pecinta agama dan PAS menyokong kelompok konservatif dalam PAS.
Kini menjelang pemilihan PAS September ini, khabarnya pertembungan antara geng ustaz dan geng publika bakal berlaku. Geng ustaz seperti yang dijelaskan sebelum ini, manakala geng publika merupakan geng think tank utama PAS dikalangan golongan profesional yang masih kekal bersama PAS. Mereka dilihat sedang berada di hadapan imej utama PAS. Malah mereka menerajui beberapa kerajaan PAS sedia ada serta pernah menyertai kabinet ketika PAS dalam Kerajaan Perikatan Nasional dahulu.

Atas sebab yang dinyatakan sebelum ini, ia mungkin menjadi faktor utama pertimbangan Haji Hadi sama ada akan berundur atau tidak. Kekuatan geng ustaz juga akan dinilai sebelum mereka melepaskan Haji Hadi. Apa yang pasti momentum yang ada hari ini kepada PAS akan mendorong kepimpinan PAS melantik Haji Hadi sebagai Mursyidul AM PAS yang baharu. Atas faktor pengaruh Haji Hadi yang kekal meluas, sosok tubuhnya diharuskan kekal dalam kepimpinan PAS.
Ada nama-nama yang sejak dulu diperhatikan sangat berambisi untuk menjadi Presiden PAS. Halangan demi halangan telah dilalui olehnya untuk bersedia mengambil alih kedudukan Haji Hadi. Siakah beliau? Nantikan tulisan seterusnya.