Langkah Timbalan Pengerusi HARAPAN, Mohamad bin Sabu bertemu bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad bin Muhd Taib merupakan satu tindakan yang bijak dan tepat.
Mohamad yang terkenal sebagai pemimpin yang terbuka dan mudah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak mewarisi sikap yang ada pada bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Dato Fadzil Mohd Noor.
Meskipun pernah berseteru antara Kerajaan dan Pembangkang, ia tidak menghalang kewibawaan Presiden AMANAH itu merintis jalan baru bersama Ketua Penerangan UMNO itu.
Mengapa Mohamad jumpa Muhammad? Apa kaitannya dengan PRK Kuala Kubu Bharu? Apa intipati perbincangan antara mereka? Kesemua persoalan ini mungkin tidak menjadi penting kepada masyarakat awam. Sebaliknya kepada pemain politik ia sebenarnya merupakan strategi Mohamad.
Mohamad bertemu Muhammad kerana Muhammad merupakan bekas Menteri Besar Selangor tahun 1986-1997. Muhammad menerajui Kerajaan Negeri ketika percaturan pimpinan UMNO Selangor kian memuncak. Atas nasihat Tun Daim, Muhammad dipilih sebagai MB oleh Tun Dr. Mahathir.
Muhammad yang baru sepenggal menjadi wakil rakyat DUN Batang Kali ketika itu dipilih atas faktor meredakan perlumbaan kuasa dalam pimpinan UMNO Selangor. Muhammad merupakan bekas Pendidik yang aktif sebagai wakil rakyat UMNO pada tahun 1982.
Dalam menerajui Selangor, Muhammad pelopor pembangunan ibu negeri Selangor yang baharu iaitu Shah Alam. Malah penonjolan Muhammad berbanding MB sebelum dan selepasnya adalah pemodenan yang digagaskan oleh beliau di Negeri Selangor.
Muhammad yang kemudiannya berjaya menempatkan diri antara 3 Naib Presiden UMNO pada tahun 1993 melontarkan Visi Selangor maju tahun 2005.
Kita perlu faham dan sedar, meski tahun 2005 telah pun berlalu, tetapi atas inisiatif mahu menjadikan Selangor maju 19 tahun lalu telah meletakkan Selangor terus mencapai kemajuan lebih membanggakan pada hari ini.
Segala kemudahan dan pembangunan yang dibuat ketika itu untuk meletakkan Selangor serba moden dan maju. Memandangkan Selangor merupakan nadi utama ekonomi Malaysia, sasaran yang diletakkan oleh Muhammad amat signifikan kepada negara.
Apa yang lebih utama, Muhammad merupakan tokoh pimpinan melayu di Selangor yang tidak memukau atau mencandukan orang melayu dengan sentimen kaum dan agama. Muhamamad sedar akan untung nasib sesuatu bangsa ditentukan atas perubahan fikiran dan keterbukaan bangsa itu sendiri menggagaskan ‘Melayu Baru’. Ia sebagai sambutan kepada cita-cita PM ketika itu untuk mencapai ‘Wawasan 2020’ dan Masyarakat Madani idea Timbalan Perdana Menteri waktu itu.
Sebagai bekas guru, Muhammad tidak menggunakan sebarang doktrin ketakutan bangsa dan ancaman untuk menyedarkan orang melayu bangkit dan maju, sebaliknya meletakkan visi, strategi dan harapan kepada orang melayu khususnya di Selangor untuk maju. Bukankah itu lebih berkesan berbanding sentiment yang sentiasa dimainka hari dengan naratif ketakutan, perpecahan, dan manipulasi kejernihan minda orang melayu. Kesannya keharmonian negara terjejas dan orang melayu terus duduk dibawah kepompong kejahilan dan kemiskinan.
Sebab itu Presiden AMANAH melihat Muhammad mampu membantu meredakan keresahan kaum yang dimainkan oleh pembangkang dalam PRK KKB kali ini. Mohamad sedar dan arif tentang keupayaan bekas pemimpin UMNO yang pernah menyertai PAS dan PKR itu melonjak kembali sokongan orang melayu kepada kerajaan perpaduan di Selangor dan Persekutuan.
Generasi muda pada hari ini semestinya kurang mengenali dan memahami kepentingan Muhammad kerana era kepimpinannya telah berlalu, tetapi generasi muda harus meletakkan kesedaran bahawa kemodenan dan kemajuan yang dicapai oleh Selangor ini hasil kesinambungan pemimpin hebat di Selangor hari ini yang dimulakan oleh Muhammad.
Ayuh beraksi di KKB wahai pimpinan parti politik dengan beradu idea, gagasan dan kesedaran. Tinggalkan sebarang permainan sentiment seperti Titah Seri Paduka Baginda Sultan Selangor beberapa bulan sebelum ini.
Cikgu Syazmir HN