SelangorToday

MEJA PENGARANG | TRIBUTE BUAT SANG PENCERAH UMMAH – DR. SIDDIQ FADZIL

Semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di Ibu Negara pertengahan tahun ini, penulis telah membeli sebuah buku yang menghimpunkan tulisan-tulisan kenalan Almarhum Dr. Siddiq Fadzil berkaitan kenangan mereka bersama almarhum.  Meski penulis sangat tertarik dengan gaya pidato almarhum yang penulis mula sedari keberadaannya dalam dunia dakwah pada tahun 2011, namun penulis hanya mendapat 2 atau3 buah buku tulisan almarhum buat bacaan penulis. Bagi penulis, karya almarhum tentang sesuatu isu itu sangat besar dan bermakna bagi ummah, keupayaan penulis menghadam segala isu penulisannya mungkin sedikit terbatas berbanding mendengar pidatonya di pentas kuliah.

Almarhum menunjukkan sijil penganugerahan Tokoh Maal Hijrah

Penulis tidak dapat bertemu secara bersemuka dengan almarhum malang sekali tidak dapat menimba ilmu secara dekat dengan almarhum. Namun keberadaan almarhum dalam arus politik negara sangat berbekas meski almarhum bukan seorang politikus mahupun anggota pentadbiran negara. Almarhum hanya seorang pendidik yang terus menerus mendidik ummah sehingga akhir hayatnya. Almarhum membuktikan bahawa kaedah mendidik ummah bukan hanya di pentas kuliah mahupun penulisan semata-mata, tetapi ada pelbagai termasuk menubuhkan gerakan siyasah Islam untuk mmperjuangkan Islam di Malaysia. di sini penulis merujuk Gerakan Siyasah Islam kepada penubuhan Parti AMANAH Negara.

Buku yang penulis beli untuk hampir kebanyakan kenalan almarhum menyifatkan almarhum sebagai pencerah ummah kepada sisi pencerahan dalam konteks Malaysia itu sendiri. Istilah ‘Fiqh Malizi’ merupakan istilah yang dipelopori oleh almarhum dalam membawa Islam sebenar kepada msyarakat Malaysia. Selain itu, ketokohan almarhum sejak dibangku sekolah lagi telah memposisikan beliau sebagai Ketua Pelajar. Sosoknya menjadi pakej lengkap untuk terjun ke dunia politik, namun almarhum memilih cara almarhum sendiri dalam berdakwah dan membawa syiar Islam.

Persahabatan almarhum dan Anwar Ibrahim bukan sekadar hbungan biasa, ia membawa kepada pembentukan misi dan visi Malaysia mengikut acuan Malaysia itu sendiri

Secara peribadi, penulis melihat almarhum merupakan rakan seiring Anwar Ibrahim meski mereka berada dua landasan yang berbeza jika melihat daripada mata kasar. Almarhum di lapangan dakwah, Anwar Ibrahim di lapangan politik. Anwar dikancah pentadbiran, almarhum di medan kuliah. Namun mereka berdua seiringan dalam mencapai visi dan misi yang mereka nukilkan bersama  ketika menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Almarhum membawa nilai Islam kepada masyarakat melalui pendekatan Malaysia yang perlu hidup harmoni, manakala Anwar Ibrahim baik sebagai politikus kerajaan mahupun pembangkang, membawa nilai politik Islam yang bersesuaian dengan konteks Malaysia berasaskan demokrasi dan keadilan.

Seolah-seolah kedua mereka telah bersepakat dihujung jalan nanti, Malaysia terbentuk sebagai negara yang makmur melalui elemen Islam serta berpaksikan nilai demokrasi sejagat. Negara bangsa yang ingin dilahirkan telah bergerak dalam setiap gerak kerja almarhum dan Anwar Ibrahim. Semangat dan pandangan Almarhum kepada Anwar Ibrahim juga bukan kepalang. Ada satu kisah semasa Azmin Ali menjadi menteri besar Selangor, Almarhum menegaskan yang Almarhum sangat menghormati Azmin Ali, namun tiada yang dapat mengatasi kasih sahabat sejati antara Almarhum dan Anwar Ibrahim.

Begitulah kisah yang penulis papar melalui cedokan penulis melalui buku PEMIMPIN SERIBU WAJAH : HIMPUNAN CERITERA MENGENANG SIDDIQ FADZIL. Kini perjuangan Almarhum diwarisi oleh anak-anak didiknya. Di medan siyasah, puteri Almarhum. Senator Fadlina Siddiq mara ke hadapan apabila dipilih sebagai Ketua Wanita KEADILAN Nasional baru-baru ini. Pastinya gandingan Nurul Izzah Anwar dan Senator Fadlina Siddiq mampu meneruskan visi dan misi yang Almarhum dan Anwar Ibrahim impikan semasa menubuhkan ABIM.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version