Paling jelas apabila UMNO-BN menggunakan isu Perobohan Stadium dan Masalah Air di Selangor sebagai modal mereka untuk menawan Selangor.
- Beberapa bulan kebelakangan ini nafsu UMNO-BN begitu menggila sekali ingin merampas kerajaan Negeri Selangor daripada tangan Pakatan Harapan. Mungkin UMNO-BN dapat menjangkakan jika penggal akan datang yang merupakan penggal ke-4 PH memerintah dan UMNO-BN sebagai pembangkang di Selangor, mungkin peluang untuk UMNO-BN kembali memerintah Selangor amat jauh sekali memakan masa yang lama. Testimoninya telah berlaku di Kelantan apabila pada tahun 2004, meskipuan Tun Abdullah Ahmad Badawi merempuh semua kubu-kubu pembangkang yang melayakkan PRU tersebut merupakan PRU terbaik UMNO-BN, namun Kelantan tetap utuh dibawah PAS dengan majoriti beberapa kerusi sahaja.
- Paling jelas apabila UMNO-BN menggunakan isu Perobohan Stadium dan Masalah Air di Selangor sebagai modal mereka untuk menawan Selangor. Hampir setiap hari UMNO-BN bangkitkan kewajaran mempertahankan Stadium Shah Alam yang menjadi nadi rakyat Selangor. Menteri Besar Selangor pula, membenarkan 3,4 hari UMNO-BN membenam PH dengan kata-kata nista seolah-olah PH gagal menguruskan isu perobohan Stadium tersebut. Akhirnya, beberapa hari yang lalu, Menteri Besar Selangor yang baru dipilih sebagai Naib Presiden terkanan KEADILAN mengumumkan perancangan besar-besaran kerajaan Pakatan Harapan untuk memulihkan semula keada Stadium Shah Alam yang uzur itu. Maka terduduklah semua pengikut-pengikut UMNO-BN.
- Apa yang jelas disini, PH sentiasa bertahan dengan segala isu yang dibangkitkan oleh UMNO-BN, namun malangnya, UMNO-BN sendiri yang melondehkan kelemahan mereka sehingga rakyat menganggap UMNO-BN masih belum layak untuk memerintah Selangor. Mana tidaknya, dalam kesibukan Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar menghentam kerajaan negeri berbekalkan modal lama, tiba-tiba Panglima Perang Najib Razak iaitu Isham Jalil dipecat daripada jawatan Ketua Penerangan UMNO Selangor, tersentap semua pengikut UMNO Selangor. Tambah pula, pihak yang dipecat diperingkat negeri, diangkat pula sebagai Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, satu kedudukan yang tinggi. Disini sahaja kita dapat lihat bahawa UMNO itu jelas mempunyai dua kelompok yang tidak sealiran pandangan dan strategi.
- Kemudian perihal Menteri Kewangan yang dinanti-nantikan untuk meletakkan jawatan setelah pengeluaran simpanan KWSP dibolehkan. Beliau yang bersedia bertanding di Parlimen Kuala Selangor membuktikan UMNO-BN ketandusan calon muka baru yang berwibawa. Memang bena Tengku Zafrul adalah ahli UMNO sejak dahulu, tetapi Mahiaddin Md Yassin yang menjemput beliau aktif dalam politik,bukan UMNO. Tidak ada lagikah tokoh UMNO-BN di Selangor yang boleh diangkat sebagai poster boy mereka dalam PRU akan datang? Meletakkan orang luar sebagai poster boy UMNO-BN Selangor, hanya memberi penghinaan yang besar kepada ahli-ahli UMNO yang telah berjuang lamanya. Yang berduit juga mendapat tempat.
- Sedikit gegaran berlaku di Selangor apabila mantan Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo mengumumkan kemunculan semula beliau dalam arena politik Malaysia. Tokoh yang ditumbangkan pada tahun 2008 itu bersedia turun ke gelanggang sebagai calon Parlimen Sungai Besar, atas dasar kubu beliau disitu. Baru mahu memanaskan badan sebelum bertempur, tawaran Dr. Khir mendapat tentangan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Mohd Yunus. Kata Jamal, Dr. Khir tidak perlu ‘come back’ tetapi ‘go back’. Dengan bangkangan itu, jalan Dr. Khir mungkin sukar, namun jika mereka masing-masing berpaut kepada kem masing-masing, kem yang akan berjaya menguasai UMNO-BN sebelum PRU lah yang akan berjaya. Khabar, Dr. Khir akan diturunkan sebagai proksi Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid, manakala Tengku Zafrul dan Noh Omar merupakan proksi Perdana Menteri, Ismail Sabri. Belum pun ruangh terbuka luas, untuk menawan Selangor, tetapi UMNO-BN telah mula bercakaran.
- Rakyat Selangor juga mengambil kira pelbagai faktor untuk menobatkan sebuah kerajaan. Jika sebelum memerintah, UMNO-BN berkelahi, apakan pula ketika memerintah, pastinya kerajaan Selangor tidak akan stabil, maka rakyat pastinya akan terus mengekalkan PH di Selangor.
- Isu-isu yang UMNO-BN bangkitkan, relevan, namun rakyat Selangor kelihatan begitu tenang dan sabar dengan apa yang akan dilakukan oleh PH di Selangor. Hal ini demikian kerana, setiap inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk rakyat Selangor tidak pernah mengecewakan. Hari demi hari PH Selangor sentiasa memperbaiki kelemahannya hasil keluhan rakyat, maka tidak ada sebagai rakyat mahu beralih kepada UMNO-BN jauh sekali PAS.
- Dua isu yang menjadi modal UMNO-BN berjaya dilumpuhkan dengan beratus-ratus inisiatif kerajaan negeri Selangor kepada rakyart. Daripada yang kerja kepada yang belajar. Daripada yang muda hinggalah ke warga emas. Daripada ibu tunggal kepada usahawan kecil, semuanya mendapat perhatian besar daripada kerajaan negeri.
- Maka untuk Sidang Dewan Negeri Selangor yang bakal bersidang minggu akan datang, jom sama-sama kita lihat apa lagi perkara yang ingin UMNO-BN bangkitkan. Jika baik ambil pengajaran,jika buruk, jadikan ia pedoman. Selamat bersidang YB!!