Sempena ulang tahun penubuhan UMNO ke -78 pada 11 Mei lalu, parti keramat yang menjadi tunjang pemerintah sejak merdeka sehingga 2018 itu diperkatakan oleh semua pihak. Paling banyak diperkatakan perihal apakah langkah yang sedang dan bakal UMNO lakukan bagi memastikan kedudukan mereka bertambah baik dari hari ke hari setelah tersembang jatuh semasa PRU ke-14.
Melalui Presidennya, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan membentuk kestabilan politik negara buat masa ini bersama HARAPAN(KEADILAN, AMANAH, DAP, UPKO), Gabungan Parti Sarawak(GPS), Gagasan Rakyat Sabah(GRS) dan Parti WARISAN. Meskipun pertengahan penggal lalu UMNO dibawah payung Barisan Nasional(BN) menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional(PN) dan GPS, namun UMNO masih menganggap mereka bukan sebahagian daripada kerajaan memandangkan segala perjalanan kerajaan baik dalam kabinet mahupun kementerian yang diterajui UMNO tidak mendapat tapisan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Berbeza dengan hari ini, kelima-lima pimpinan utama UMNO berada dalam kerajaan perpaduan baik diperingkat negeri dan persekutuan. Timbalan Presiden UMNO, Mohammad Hasan adalah Menteri Luar yang kini dikenali serata dunia atas ketegasan Malaysia mempertahankan Palestin. Dua Naib Presiden UMNO iaitu Khaled Nordin dan Johari Ghani masing-masing menerajui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi. Seorang lagi Naib Presiden UMNO, iaitu Wan Rosdy merupakan Menteri Besar di Negeri Pahang dengan kerjasama HARAPAN-BN.
Cuma jika kita kembali kepada sejarah buat seketika, apakah citra atau peranan UMNO dalam perkembangan politik Malaysia? Sejak ditubuhkan pada tahun 1946 sehingga tahun 1970, peranan UMNO berteraskan tekad untuk memerdekakan tanah melayu. Dibawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman membawa panji perjuangan UMNO sebagai tonggak kemerdekaan negara. Kesannya, Presiden UMNO kedua iaitu Tunku menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Memasuki awal 70an, UMNO yang mempunyai jumlah wakil yang ramai baik diperingkat legislatif dan eksekutif memacu pembangunan negara dengan mengoptimumkan sumber yang ada di Malaysia. Tun Razak Presiden UMNO ke-3 sebagai peneraju era itu bertimbalan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan pengganti Tun Abdul Razak iaitu Tun Hussein Onn(Presiden UMNO ke-4) melaksanakan program berbentuk besar-besaran dengan tujuan untuk membangunkan negara dan membasmi kemiskinan. Di era tersebut, tanah-tanah diusahakan, siaran television berwarna diwujudkan serta pelbagai program pembangunan. Tumpuan politik UMNO ketika itu adalah untuk kemajuan negara, orang melayu masih menyokong penuh kepimpinan UMNO.
Kemudian beralih kepada kepimpinan Presiden UMNO yang paling lama, Tun Dr. Mahathir Mohamad, perkembangan politik mula berubah selaras dengan perubahan negara yang telah menjadi negara perindustrian dan penswastaan. UMNO saling bertukar Timbalan Presidennya dari Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim selain Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi. Permainan UMNO ketika itu lebih berat apabila menerima tamparan dari pembangkang, namun masih kekal memerintah. Seterus Tun, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim antara figura yang menjadi faktor jatuh bangun UMNO ketika itu.
Politik melayu pula tidak lagi tertumpu kepada UMNO sahaja, sebaliknya melayu mempunyai pilihan seperti PAS yang berjaya menunjukkan kecemerlangan di Kelantan dan kewibawaan Presiden PAS ketika itu, Ustaz Fadzil Noor merangkul situasi menggembleng sokongan kepada PAS. Kesannya pada tahun 1999, orang melayu berani menolak UMNO secara pukal buat pertama kalinya. Perihal melayu Islam tidak banyak dibicarakan ketimbang soal hak asasi manusia, kebebasan media dan integrity kerajaan.
UMNO masih mampu mengembalikan sokongan melayu pada PRU ke-10 dibawah pimpinan Presiden UMNO ke-6, Tun Abdullah. Disangka sokongan akan berkekalan, rupanya berubah dan terus berkurang baik dizaman Presiden UMNO ke-7, Najib Tun Abdul Razak mahupun Presiden UMNO ke-8, Dr. Ahmad Zahid. Ketika era ini, orang melayu dan rakyat Malaysia secara amnya bersedia untuk menukar mana-mana parti sebagai pemerintah. Daripada itu, sokongan UMNO semakin merosot sehinggalah pada PRU ke-15 iaitu dengan mempunyai 27 kerusi.
Citra perjuangan UMNO dapat kita lihat mempengaruhi perkembangan negara dan untung nasib bangsa melayu itu sendiri. Semua menerima hakikat bahawa UMNO antara organisasi yang mendapatkan kemerdekaan Negara, membangunan Negara dan mengubah gaya hidup orang melayu. Tetapi pada hari ini, segala legasi UMNO yang lalu tidak boleh mendatangkan sebarang kelebihan lagi kepada UMNO untuk dipilih oleh rakyat.
UMNO sekarang perlu benar-benar ikhlas dalam perjuangannya untuk meningkatkan taraf hidup orang melayu dan mengkesampingkan sikap berlumba jawatan, wang dan kuasa seperti peringatan Wan Rosdy selaku Naib Presiden UMNO. Keputusan Dr. Ahmad Zahid untuk membawa UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan selepas PRU ke-16 memperlihatkan kaedah menterjemahkan perjuangan UMNO memajukan orang melayu mestilah dengan perkongsian kuasa dengan parti yang lain. Bukan lagi secara bersendirian seperti UMNO memerintah dari tahun 1957 hingga 2018.
Dr. Ahmad Zahid sedar kepentingan rakyat khususnya orang melayu lebih perlu diutamakan berbanding berkelahi atas perbezaan ideologi parti masing-masing. Maka sebab itu UMNO bersedia berkongsi peranan dan tanggungjawab bersama DAP khususnya sebagai parti yang paling berseteru dengan UMNO sejak 60an lagi.
Perubahan UMNO ini amat dialukan-alukan yang pastinya boleh diterima generasi hari ini. Meskipun corak dan gaya perjuangan berubah, namun asas melayu sebagai obor perjuangan tidak akan berganjak sama sekali. Ini yang penulis lihat ketika ini buat UMNO.
Perihal politik wang atau rasuah yang menjadi salah satu faktor sokongan kepada UMNO semakin merosot dapat diatasi selagi UMNO bersama Kerajaan Perpaduan. Selagi mana UMNO menyokong penuh tekad PM Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi HARAPAN itu memerangi rasuah, maka keyakinan rakyat akan kembali kepada UMNO.
Naratif perkauman tidak boleh lari daripada UMNO memandangkan UMNO memperjuangkan kemajuan bangsa melayu itu sendiri. Dalam catatan sejarah juga, adanya pimpinan UMNO yang mengamalkan naratif perkauman yang lebih keras sama ada benar untuk perjuangan parti ataupun kepentingan diri. Cuma dalam konteks hari ini yang berbeza dari dahulu, UMNO bukanlah lagi pemerintah tunggal dan juga tahap suhu perkauman belum panas. Maka naratif perkauman secara berlebihan perlu diredakan dan menggunakan segala posisi dan peluang sebagai sebahagian daripada pemerintah untuk memajukan dan membela melayu.
Insya Allah UMNO akan kembali relevan, Selamat Ulang Tahun Penubuhan UMNO.