SelangorToday

MEJA PENGARANG | YANG DAMAI DAN RAHMAH DIBAWA OLEH AMANAH

Meskipun Parti AMANAH Negara(AMANAH) dilihat kecil dan muda dalam politik Malaysia berdasarkan jumlah kerusi yang dimiliki serta usia penubuhannya belum menjengah 1 dekad, namun peranan AMANAH dalam politik Malaysia tidak boleh dikesampingkan.

Jika melihat kepada sejarah politik yang telah berlalu, jelas AMANAH sentiasa memainkan peranan sebagai orang tengah dalam meredakan konflik atau salah faham antara dua belah pihak yang memungkin sejarah politik negara berubah jika tidak diuruskan sebaiknya.

Begitu pun pengorbanan yang paling bermakna apabila pimpinan AMANAH mengambil risiko menubuhkan AMANAH itu sendiri yang telah meletakkan AMANAH kelihatan kecil dan muda berbanding bertahan dalam parti lamanya iaitu PAS yang matang dan kuat. Kesemuanya itu bagi merealisasikan kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan pada tahun 2018 yang menjadi salah satu sejarah buat Malaysia.

Untuk kehadapan, AMANAH seringkali membawa konsep Islam Rahmatan Lil Alamin sebagai pegangan utama AMANAH ketika berurusan sama ada dalam politik mahupun dakwah. Walaupun ia sangat berat untuk difahami oleh masyarakat awam khususnya orang melayu yang telah sebati dengan konsep Islam sebagai simbol, tetapi peluang AMANAH berada dalam kerajaan sama ada ketika era PH mahupun era Malaysia MADANI berjaya menterjemahkan konsep tersebut lebih pantas dan mudah.

Almarhum Salahuddin Ayub selaku bekas Timbalan Presiden AMANAH paling berjaya memperlihatkan nilai Islam Rahmatan Lil Alamin itu dalam pentadbirannya. Sebagai Menteri yang menjaga urusan perdagangan domestik serta bertindak sebagai petugas hadapan meredakan tekanan kos sara hidup yang memuncak, almarhum berjaya membawa konsep Islam Rahmatan Lil Alamin dalam bentuk Nilai Rahmah kepada peniaga dan pengguna. Produk Rahmah dalam semua bentuk jualan yang sering menjadi tumpuan pengguna dirahmahkan. Nilai Rahmah yang bermaksud kasih sayang itu diaplikasikan pada harga barang agar ia mampu dibeli oleh masyarakat disamping tidak merugikan peniaga.

Dalam keadaan insiatif Almarhum Salahuddin berjaya dan sedang melipat-gandakan usaha ke arah meringankan beban kos sara hidup rakyat, Allah menjemput beliau ke pangkuan-Nya. Beliau dijemput ketika kasih sayangnya dirasai seluruh rakyat, malah impak kerjanya benar-benar dinikmati rakyat.

Mohamad Sabu sahabat karib Almarhum Salahuddin tidak menggunakan istilah Rahmah dalam inisiatifnya namun mengamalkan nilai yang sama pada pentadbirannya. Ia termasuk dalam program Jualan Agro MADANI yang mengetengahkan bekalan keperluan dengan harga yang berbaloi. Tumpuan Presiden AMANAH di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan lebih kepada memastikan bekalan makanan di Malaysia mencukupi dan tidak bergantung kepada luar negara.

Bagi Timbalan Presiden AMANAH yang baharu, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, pendekatan Rahmah adalah asas kepada politik damai. Datangnya politik damai apabila nilai rahmah itu wujud dalam sanubari sang politikus. Dr. Mujahid yang dari dalam PAS lagi menjadikan politik damai sebagai pegangan apabila beliau diamanahkan mengemudi Lajnah Perpaduan Nasional bertahun lamanya itu mahu pendekatan politik damai dibawa sebagai pendekatan terkini pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan atau MADANI.

Kata bekas Menteri Hal Ehwa Agama Islam itu, era Malaysia MADANI merupakan masa yang sesuai untuk mengaplikasikan politik damai antara parti-parti politik di Malaysia. Bukan setakat damai antara parti yang sedang berseteru dalam politik semata-mata, malah lebih utama politik damai yang dibawa itu akan memungkinkan seorang politikus berfikiran untuk memakmurkan muka bumi Allah swt ini dan tidak melakukan kerosakan kepada bumi milik Allah ini.

Ungkapan ini jelas bahawa politik damai tidak mementingkan kedudukan, kuasa dan wang sebagai matlamat, tetapi lebih utama untuk mengelakkan lahirnya generasi kebendaan yang sanggup meletakkan adab berpolitik dibelakang mereka. Anak kepada bekas Presiden PAS itu turut berkata, Imam Al-Mawardi menyatakan selain adab syariiyah yang merangkumi soal hukum hakam dalam Islam, adab siayasah juga menekankan soal peranan manusia memakmurkan muka bumi Allah ini.

Walaupun laluan ini amat sukar untuk dilaksanakan, Dr. Mujahid mahu ia segera dilaksanakan melalui semua parti-parti politik yang ada. Asasnya reform kepada amalan semua parti politik bakal mewajahkan politik damai di Malaysia.

Parti politik yang telah direform membawa politik damai tidak akan menggunakan elemen bohong dan fitnah sebagai senjata untuk mendapatkan sokongan masyarakat. Ia bukan sahaja mungkar dalam adat orang melayu, malah ia secara halus meng ‘edan’ kan orang melayu. Kedua, amalan politik kebencian tidak boleh berpasak di dalam politik Malaysia, kerana ia hanya akan menyebabkan masyarakat lebih huru-hara dan kerosakan kepada muka bumi.

Ketiga, politik yang cenderung kepada pecah belah masyarakat, mungkin mampu menjayakan naratif politik sesetengah pihak, namun ia telah melemahkan seluruh sendi-sendi masyarakat khususnya kepercayaan antara satu sama lain. Naratif itu secara tidak langsung merencatkan kesepaduan seluruh rakyat Malaysia.

Paling utama, kata Dr. Mujahid, politik damai seharusnya membawa manusia kepada kebaikan. Politik damai akan menghampirkan manusia kepada kebaikan dan menjauh daripada kerosakan. Banyak aplikasi yang bakal AMANAH terjemahkan melalui politik damai ini. Keyakinan ini dilihat apabila Dr. Mujahid menjangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang, AMANAH akan menjadi parti politik arus perdana  dimana ketika itu masyarakat tidak bersangkut lagi dengan politik identiti dan adu domba.

Mohamad pula selaku pemimpin utama dilihat berjaya membawa politik damai ke peringkat antarabangsa, bekas Menteri Pertahanan itu diterima sebagai orang tengah dalam konflik persaudaraan sama ada di Asia Barat mahupun negara-negara benua lain. Buktinya, apabil konflik Iran-Israel berlaku, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memanggil Mohamad untuk mendapatkan pandangannya yang pasti mempunyai pengalaman, maklumat dan rentetan sejarah sebagai panduan pegangan kerajaan Malaysia.

AMANAH bakal menjadi pemangkin kepada politik yang lebih damai dan matang pada masa hadapan meskipun dilihat muda dan kecil.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version