Menjengah tahun kedua penggal kedua sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang memegang portfolio Pertanian, peranan dan pembawakan yang diketengahkan oleh Ketua Parti Komponen dalam gabungan Pakatan Harapan ini mula diberi perhatian umum.
Selaku Ahli Dewan Negeri Pandan Indah yang berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti 10,591 pada tahun 2023, Ir. Izham Hashim diberikan kepercayaan terus mengemudi sektor pertanian di Selangor buat kali kedua. Beza kali ini, beliau bersama Ng Sze Han dan Borhan Aman Shah exco yang lebih senior dan berpengalaman dari exco yang lebih junior.
Ada pun Izham mengemudi parti yang lahir ditengah pertembungan antara pembangkang dan kerajaan era Najib Tun Abdul Razak, namun Parti AMANAH Negara di Selangor berjaya mengondol prestasi yang baik berbanding AMANAH di negeri lain.
Ketika percubaan pertama AMANAH dalam pilihan raya, Izham yang memimpin berjaya menempatkan 8 orang ahli Dewan Negeri Selangor dengan seorang Timbalan Speaker Dewan. Manakala diperingkat persekutuan, AMANAH Selangor mempunyai 5 orang ahli parlimen dengan 3 orang menteri dan seorang timbalan menteri. Percubaan pertama yang membanggakan itu membolehkan Izham memperkukuhkan partinya serta berperanan secara meluas dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Berbeza dengan percubaan kali kedua, gelombang hijau yang dimomokkan oleh pihak anti-PH berjaya menawan kerusi-kerusi melayu sehinggakan kerusi yang di menangi oleh AMANAH Selangor hanyalah 5 ahli dewan negeri dan kekal 5 ahli parlimen. Walaupun begitu, asas Parti AMANAH yang sentiasa progresif dan sikap keterbukaan Izham selaku pengerusi negeri berjaya meletakkan 60% muka baharu yang menang sebagai wakil rakyat daripada AMANAH.
Ruang seluas-luasnya yang dilaksanakan dibawah kepimpinan Izham berjaya membuang imej Parti AMANAH sebagi parti serpihan PAS semata-mata, sebaliknya yang lebih utama adalah Parti AMANAH sentiasa membuka jalan baharu kepada generasi muda menggubal dasar negeri dan persekutuan serta sama sekali mengelak daripada elemen fanatik dan assobiyah membabi buta.
Melihat kepada mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor kepada Pakatan Harapan dan ditambah nilai oleh kebersamaan Barisan Nasional, Izham mula bergerak lebih pantas dalam mengemudi sektor pertanian. Sebagai panduan dan asas Selangor untuk menumpukan sektor pertanian, Pelan Transformasi Agro Selangor(PeTA) dilancarkan.
Berdasarkan PeTA, Izham dan kepimpinan Negeri Selangor ingin membawa sektor pertanian kepada satu tahap yang lebih tinggi, membanggakan serta menjana pendapatan buat rakyat dan negeri. Lima teras yang ditetapkan dalam PeTA ialah pertanian bernilai tinggi, pertanian moden dan rantaian bekalan makanan yang lengkap. Selain itu, PeTA turut menyenaraikan pembangunan agropreneur dan pelancongan agro sebagai asas.
Umum mengetahui bahawa industri pertanian yang dilihat hari ini amat berbeza dengan zaman lampau, malah kecanggihan teknologi hari ini mendorong sektor pertanian dilaksanakan secara bijaksana dan berimpak tinggi. Oleh yang demikian, Izham melihat pertanian moden yang hampir pasti mendatangkan nilai dan impak yang tinggi wajar diterokai oleh Selangor sebagai antara negeri yang termaju di Malaysia.
Produk pertanian bernilai tinggi seperti lembu wagyu, halia dan lemon selangor antara produk yang telah mula dirintiskan tahun ini serta mula memberi kesan positif kepada mereka yang menjalankannya. Malah Selangor dibawah Izham telah mula bersedia untuk memasuki produk pertanian baharu seperti vanila. Perusahan Ikan Gurami juga telah mula menampakkan petunjuk yang baik dimana Selangor satu-satunya negeri yang mempunyai perusahan tersebut dari peringkat pembenihan hinggalah ke pengkormesialan.
Dalam memimpin sektor yang luas dan serba mencabar atas pengaruh politik dunia dan perubahan iklim yang ekstrim, Izham menyasarkan Selangor menjadi negeri sekuriti makanan menjelang dekad yang mendatang. Katanya satu ketika dahulu, meskipun Selangor terkenal sebagai negeri berindustri berat tumpuan kepada kecukupkan dan keterjaminan makanan menjadi keutamaan di Selangor.
Tambah Izham lagi, sasaran tersebut seiring dengan komitmen Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Hj Mohamad bin Sabu dalam memastikan Malaysia akan mengeluarkan bekalan makanannya sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada negara import. Justeru itu, Selangor sebagai negeri yang menyumbang kepada KDNK negara yang tinggi, perlu mengangkat dasar pertanian dan sekuriti makanan ini sebagai salah satu pacuan utama ekonomi di Selangor.
Jika dilihat lebih mendalam, usaha Izham dan kepimpinan Selangor ini bukan sahaja mampu meningkat pendapatan negeri serta mencukupkan makanan dalam negara semata-mata, malah lebih utama sektor ini mampu menaiktaraf golongan muda sebagai usahawan tani yang cemerlang. Memandang teknologi pertanian semakin canggih dan mudah dikelolakan, pastinya anak muda hari ini lebih berminat dan bersedia menyertainya asalkan proses pendedahan dan latihan kepada anak muda terus berjalan dari masa ke semasa.
Menyentuh soal masa depan sektor perikanan dan nasib nelayan, Izham tidak pernah meminggirkan kelompok ini, sebaliknya tumpuan Izham kepada sektor ini sama penting dengan pertanian moden.
Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha untuk mempertingkatkan hasil nelayan dengan melabuhkan 14 tukun tiruan dan memperuntukkan RM350,000 sebagai inisiatif diperairan Sepang dan Sabak Bernam setiap tahun. Izham juga turut memaklumkan, kerja-kerja naik taraf Jeti di Sepang, Kuala Selangor serta Klang dilaksanakan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM3.6 Juta.
Kesimpulannya, tekad Kerajaan Negeri Selangor melalui kepimpinan Izham dibawah portfolio pertanian haruslah dianggap sebagai satu jihad membasmi kemiskinan secara terancang dan berimpak. Malah sektor pertanian yang diperkasakan melalui teknologi moden memberi ruang kepada kelompok melayu Islam khususnya serta kaum lain dalam meningkatkan taraf hidup mereka memandang masyarakat melayu Islam sinonim dengan bidang pertanian.
Beberapa tahun akan datang usaha ini akan menerima hasil yang lumayan serta memberi manfaat kepada rakyat. Jelas Izham melangkah dengan penuh yakin dan beramanah dalam memimpin sektor pertanian di Selangor.
Cikgu Syazmir HN