Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad menyeru kesatuan melayu itu dibina atas asas mahu menegakkan nilai-nilai kebenaran dalam Islam. Malah orang melayu akan bertambah maju jika mereka semua mampu berpadu sebagai bangsa yang menyingkirkan pemimpin yang mengamalkan rasuah.
Berkata ketika Sidang Media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Shah Alam pada Ahad, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menjawab tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa AMANAH tidak mahu orang melayu bersatu seterusnya bermusuhan dengan parti melayu lama iaitu UMNO dan PAS. Beliau menegaskan AMANAH sebagai parti Islam yang bergerak secara progresif juga mahu orang melayu Islam bersatu, namun ia bukan bersatu hanya untuk mempertahankan pemimpin yang sudah dituduh menyeleweng dana awam dan rasuah, yang lebih penting adalah bersatu menegakkan nilai Islam yang antaranya melaksanakan urustadbir yang baik dan cekap.
Tambah beliau, negara ini akan lebih maju jika tidak mengamalkan rasuah. Ia terbukti apabila rasuah hanya memperkayakan sebahagian golongan sahaja, manakala yang miskin akan terus berada dalam keadaan susah. Maka khalid juga menyeru agar orang melayu membuka mata dan minda agar tidak terus diperdayakan oleh sebahagian kumpulan yang menggunakan melayu Islam sebagai modal melepaskan diri daripada di dakwa mahupun memperoleh keuntungan.