Seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.
“Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).
Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Sementara itu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.
Azman berkata seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.
Bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023, turut menunjukkan peningkatan, iaitu seramai 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022.
Malah pencapaian SPM 2023 antara bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan, namun jurang pencapaian calon kekal pada 0.43 mata seperti SPM 2022.