Hari demi hari kelangsungan gabungan parti dalam Perikatan Nasional(PN) semakin rapuh dan membimbangkan. Kesepakatan yang dibina hanya kerana mahu menubuhkan kerajaan pada Februari 2020 itu tidak mampu lagi bertahan akan kegagalan mereka untuk membentuk kerajaan selepas PRU ke-15 serta menebuk kerajaan sedia ada sehingga kini.
Ada banyak petunjuk yang memperlihatkan bahawa PN tidak mampu bergerak seiring seperti sebelum PRU lalu. Yang lebih jelas, PAS sebagai parti yang dominan dalam PN serta dianggap senior dalam politik Malaysia kerap bercanggah hujah dan hala tuju bersama rakan komponennya.
Disedari bahawa mengapa PAS lebih menonjol untuk bertentang pendirian dengan BERSATU dan GERAKAN kerana jumlah kerusi yang dimiliki PAS jauh lebih banyak berbanding yang lain. Malah PAS mengetuai kesemua negeri yang dikuasai oleh PN. Ada pun begitu, asas yang paling ampuh adalah PAS telah terbukti gagal setia melaksanakan ikatan yang panjang bersama rakan tahalufnya dalam tempoh dua dekad yang lalu.
Atas dasar apa sekali pun, dalam tempoh kepimpinan Hj Abdul Hadi Awang, PAS telah mengadakan kesepakatan politik sebanyak 4 kali serta meninggalkan kesepakatan yang ada sebanyak 3 kali. Hj Abdul Hadi dilantik secara rasmi sebagai Presiden PAS pada tahun 2003. Dalam tempoh itu, PAS telah menjalinkan kerjasama dengan KEADILAN dan DAP yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat selama kurang lebih 8 tahun. Kemudian, memilih untuk mengetuai pakatan dalam Gagasan Sejahtera bersama IKATAN yang mampu bertahan hanya ketika menyertai PRU ke-14 sahaja.
Tumbangnya BN dalam PRU 2018 itu memudahkan PAS untuk mendekatkan diri bersama BN secara terbuka walaupun sebelum itu, PAS telah pun memulakan kerjasama secara sulit bersama BN. Justeru itu, tertubuhnya Muafakat Nasional yang dikatakan merentas elemen politik dan kepartian telah pun membentuk kerjasama erat antara PAS dan UMNO khususnya.
Dengan penggabungan dua parti melayu berpengaruh dan kuat, suhu politik dan kaum di Malaysia semakin meningkat memandangkan DAP menganggotai kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kehangatan itu dipercayai didorong oleh sentimen yang mahu menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya. Sentimen yang bermain baik di pihak MN mahupun dalam PH sendiri mempengaruhi ketidakstabilan kerajaan yang ada serta berjaya diruntuhkan oleh jasad PH sendiri pada tahun 2020.
Maka MN terpaksa menerima sekutu barunya iaitu BERSATU untuk menubuhkan kerajaan dengan pelbagai muslihat yang tidak perlu diperbahaskan lagi. Selapas mengangkat sumpah, Mahiaddin Md Yassin mengumumkan kerajaan yang ada ketika itu adalah kerajaan Perikatan Nasional. Sebab itu penulis menyatakan PN ditubuhkan hanya kerana ingin menubuhkan kerajaan secara singkat dan bukan atas wawasan seperti mana tertubuhnya BN, PR mahupun PH.
Namun demikian, PAS yang dilihat seolah-olah parti berteraskan Islam akan sedaya upaya mencipta pelbagai hujah mahupun dalil politik agar dilihat PAS yang ditinggalkan bukan PAS yang meninggalkan.
Diakui ketika era Hj Fadzil Mohd Noor, PAS sering ditinggalkan kawan, baik semasa dalam Angkatan Perpaduan Ummah(APU) pada tahun 1995 dan Barisan Alternatif(BA) ada tahun 2000. Namun begitu, ketika pemerintahan Hj Abdul Hadi, PAS dilihat meninggalkan rakan sekutunya yang dianggap PAS sebagai oportunis.
Misalnya ketika Dewan Ulamak PAS pusat meluluskan usul putus hubungan politik bersama DAP, PAS menggunakan pelbagai hujah untuk mewajarkan tindakan mereka. Paling jelas PAS melihat DAP tidak menghormati PAS sebagai sebuah parti ideologi Islam serta DAP mahu melaksanakan proses kristianisasi dalam pemerintahan.
Dalam buku tulisan Hj Abdul Hadi, yang menyorot pasang surut politik PAS, mendakwa DAP yang dipengaruhi oleh PAP yang berpangkalan di Singapura turut mempunyai kerjasama dengan negara barat ingin menguasai Malaysia.
Peliknya, Hj Abdul Hadi sendiri menyatakan bahawa DAP hanya mampu menguasai tidak lebih 50 kerusi di parlimen, dengan jumlah itu, DAP tidak akan mampu melaksanakan dakwaan pihak tertentu bahawa DAP ingin mengkristianisasikan Malaysia. Ucapan ini terpacul dimulut Hj Abdul Hadi sendiri ketika berkempen dalam satu Pilihan Raya Kecil di Terengganu bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat.
Kedua, PAS yang telah mengisytiharkan putus hubungan dengan DAP(tidak dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat) masih memerintah dalam kerajaan yang sama di Selangor bersama DAP dan KEADILAN. Ertinya PAS memutuskan hubungan rasmi dengan DAP, tetapi kerajaan yang berjaya dibentuk oleh mereka (PAS- 15 kerusi, DAP- 15 kerusi dan KEADILAN- 14 kerusi) pasca PRU ke-13 masih boleh diteruskan bersama. Dalil politik Hj Abdul Hadi, kerjasama itu dibuat dengan DAP yang bergolongan sederhana. Sedangkan baik sederhana atau tidak, DAP bertindak atas dasar yang ditentukan secara keseluruhan.
Hanya selepas pembubaran DUN Selangor, baru PAS membawa haluan sendiri. Itupun atas alasan KEADILAN telah mendahulukan bekas ahli PAS yang menubuhkan AMANAH sebagai komponen gabungan tersebut berbanding PAS. Hakikatnya, PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP yang akan menggagalkan kesepaduan antara semua parti pembangkang. Tambahan lagi AMANAH memutuskan untuk mendokong KEADILAN dan DAP melalui Pakatan Harapan.
Ketika dalam Gagasan Sejahtera pula, sudah diketahui bahawa ia hanyalah gabungan yang mencetuskan angan-angan PAS untuk menjadi King Marker sebagai blok ketiga yang akan menyokong kerajaan yang perlu dibentuk. Namun selepas beberapa hari kerajaan PH berjaya dibentuk tanpa PAS, Hj Abdul Hadi sendiri yang membuat kunjungan kepada Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Sejak itu Gagasan Sejahtera tidak berkumandangkan lagi, PAS pula menumpukan perhatian kepada kekasih baharunya dalam MN dan parti yang membentuk Gagasan Sejahtera langsung tidak mendapat manfaat baik di negeri Kelantan dan Terengganu.
Maka yang terakhirnya, melalui MN yang dijadikan tempat PAS mencari pengaruh dan sokongan pasca PRU 2018, PAS meminggirkannya kerana lebih mendahagakan kasih sayang daripada BERSATU sebagai ketua kerajaan ketika itu. PAS lebih erat bersama BERSATU berbanding UMNO, malah PAS terbahagi kepada dua kelompok ideologi dimana satu menyokong PAS bersama BERSATU melalui PN manakala satu kelompok menyokong PAS bersama UMNO melalui MN.
Satu demi satu pengkhianatan antara mereka berlaku menyebabkan UMNO terpinggir. PRN Melaka dan Johor adalah titik tolaknya apabila PAS enggan menerima jumlah kerusi yang diperuntukkan oleh BN untuk ditandingi lalu bekerjasama terus dengan BERSATU atas nama PN. Hasilnya, BN menang bergaya manakala PAS dan PN hanya menang beberapa kerusi dibelakang PH. Sehingga selepas PRU ke-15, PAS masih menyatakan gabungan MN antara PAS dan UMNO masih wujud walaupun UMNO banyak terpinggir oleh PAS kerana BERSATU. Lalu keputusan UMNO bersama Kerajaan Perpaduan dijadikan asas bahawa UMNO yang meninggalkan MN bukannya PAS.
Begitulah hakikatnya politik PAS, mereka tidak mudah untuk meninggalkan satu gabungan tanpa sebarang dalil politik yang boleh mewajahkan mereka bersih dan baik. Sebaliknya keadaan yang sesuai dan sentimen yang memihak kepada PAS akan dimanfaatkan untuk memastikan PAS meninggalkan rakannya.
Adakah GERAKAN akan dijadikan kambing hitam untuk PAS meninggalkan PN? Atau ada dalil-dalil politik lain yang akan direkayasa oleh PAS untuk memastikan mereka kekal baik dan suci dalam politik negara.