Saya dan suami baru selesai makan malam di restoran dan sedang bersiar-siar di deretan kedai bertentangan. Kami memasuki kedai yang menjual barang kraf dengan harapan mahu mencari beberapa lagi hadiah sempena Hari Krismas. Sejurus melepasi pintu masuk, pelbagai haruman potpuri dan sabun buatan tangan menusuk hidung kami.
Kedai itu menjual pelbagai kraf tangan. Setiap rak dan dinding dipenuhi segala macam hasil tangan. Ketika memasuki kedai itu, saya perasan sekeping kayu tergantung pada dinding. Saya melihatnya sekali lagi dan mengangguk perlahan membaca mesej yang terukir di atasnya. Kami terus menerokai barangan lain di dalam kedai itu, tetapi saya mendapati diri saya tertarik dengan plak yang pertama tadi.
Berdiri dihadapannya, saya terasa seperti budak kecil, yang terjumpa sesuatu yang tidak diduga seperti duit syiling ataupun barang permainan. Terselit di antara semua barang kraf tangan yang biasa-biasa ini, saya menemui sebuah permata berharga dengan mesej yang mudah. Mesej yang memang saya perlukan.
“ Hidup ini bukan mengenai bagaimana merempuh ribut yang melanda, tetapi bagaimana cara hendak menari dalam hujan.” Itu adalah ayat yang tertulis pada plak itu.
Selepas menarik perhatian suami saya, jelas beliau merasai kebenaran pengajaran mudah yang cuba disampaikan pada kepingan kayu itu. Berapa kerapkah kita menetapkan syarat kepada kebahagian diri kita sendiri? Apabila anak sudah besar sedikit, barulah kita boleh meluangkan lebih banyak masa bersama. Terlalu sedikit kebahagian yang dapat dinikmati sekarang jika diambil kira segala syarat itu dan ini.
Saya teringat kembali suatu hari yang panas pada tahun sebelumnya, ketika secara kebetulan saya mengamalkan mesej pada kepingan kayu itu. Awan – awan mendung berguling meliputi gurun Rockies, sarat dengan kelembapan hujan. Hujan rintik-rintik yang mula turun pada waktu tengahari hari bertukar lebat sebelah petangnya dengan air berderum laju memenuhi parit dan longkang.
Hujan masih turun ketika saya keluar mengambil surat yang posmen baru hantar. Air di dalam parit masih tinggi. Saya pun tidak tahu apa yang terlintas di kepala, tetapi tiba-tiba saya terasa seperti mahu melakukan sesuatu yang gila.
Saya membuka kasut dan mula berjalan dalam hujan yang mencurah-curah. Air dicelah jari kaki terasa nyaman dan sedikit suam apabila dipanaskan oleh batu-batu kerikil di laman.
Jiran-jiran yang terlihat saya ketika itu pasti merasakan yang saya sudah gila, tetapi saya tidak kisah. Kerana pada ketika itu, saya terasa setiap sel tubuh saya hidup dan bertenaga. Saya tidak risau tentang apa kesulitan yang saya sedang hadapi sebelum ini. Saya mengalami kenikmatan daripada tuhan, iaitu saat kegembiraan tanpa sayarat dan tidak berhujung pangkal.
Kini kepingan kayu itu masih tergantung megah di ruang tamu, sebagai hadiah daripada suami yang tercinta. Saya melintasinya beberapa kali setiap hari dan sering bertanya kepada diri saya, “Adakah saya sedang menari dalam hujan sekarang?”
Saya fikir jawapanya “Ya”. Saya cuba mengamalkannya setiap hari. Kini saya lebih komited berhenti sejenak dan meneliti serta mensyukuri semua nikmat kecil anugerah tuhan sekeliling saya. Nikmat-nikmat yang seringkali kita terlepas pandang kerana terlalu teruja mengejar kebahagian masa hadapan. Kini saya lebih bersyukur dan menikmati setiap detik nikmat pemberian tuhan. Seperti anak yang mula berdikari, kasih sayang dan persahabatan sahabat handai serta keindahan alam. Ya, langkah demi langkah saya sedang menari dalam hujan!
-Jeannie Lancaster
Petikan daripada buku ‘Chicken Soup for the Soul- Berfikir Positif’