SelangorToday

MENJELANG RAYA, KES STROK HABA DAN COVID-19 MASIH TERKAWAL DI SELANGOR

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan buat masa ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan berhubung kes strok haba di Selangor setakat ini. Memetik kenyataan beliau melalui portal Selangorkini, Jamaliah  juga berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar(JAS) untuk memantau keadaan cuaca. Jamaliah mengingatkan masyarakat keadaan cuaca panas yang lebih lama serta tidak menentu berkemungkinan boleh terjadinya strok haba.  Beliau turut memaklumkan beberapa kali mesyuarat melibatkan Unit Bencana Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri telah diadakan yang membolehkan tindakan susulan diambil jika berlaku kes strok haba.

strok haba

Bagaimanapun, Jamaliah turut menasihatkan orang awam untuk sentiasa mengambil langkah berwaspada terutama ketika musim perayaan. Setakat ini keadaan masih terkawal cuma saya nasihatkan masyarakat kerap minum air kosong dan sentiasa membawa payung sekiranya cuaca terlalu panas. Selain itu, kalau boleh elakkan berkunjung ke kawasan yang terlalu sesak dan panas ketika menjelang musim perayaan ini, pastikan ambil langkah berjaga-jaga. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media di Restoran Chandat@Terapung di sini.

Mengulas mengenai kes Covid-19, Jamaliah memberi jaminan bahawa keadaan kes yang pernah menjadi pandemik di Malaysia masih dalam keadaan terkawal. Ahli Dewan Negeri(ADN) Bandar Utama itu mengakui setiap kali musim perayaan, trend kenaikan kes Covid-19 pasti berlaku, namun ia masih dikategorikan sebagai terkawal. Maka beliau turut menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka jika tergolong dalam individu berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan wanita mengandung. – SelangorToday

Exit mobile version