SelangorToday

MENTERI KPT UMUM 2,500 MAHASISWA B40 TERIMA BANTUAN PENGECUALIAN YURAN PENGAJIAN

Seramai 2,500 mahasiswa tahun satu sesi 2024/2025 di universiti awam terpilih untuk menerima bantuan pengecualian yuran pengajian di universiti awam menerusi Program Siswa Sulung 2.0.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata program itu membolehkan mahasiswa dalam kalangan keluarga miskin tegar dan tersenarai dalam sistem eKasih dikecualikan daripada pembayaran yuran bagi keseluruhan pengajian.”Sehingga kini, untuk kumpulan pelajar baharu, sekitar 2,500 mahasiswa (terpilih).

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya kita jangkakan sekitar 8,000 pelajar daripada tahun satu hingga empat akan menerima bantuan ini,” katanya.


–fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjayakan program Jelajah Kampus MADANI “In Person with Doc Zam: Tips & Tricks for Freshies” bersempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Program SULUNG 2.0 adalah bantuan pengecualian yuran pengajian yang diberikan kepada individu pertama dalam keluarga B40 atau keluarga kurang mampu yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di universiti awam.

Mengulas keluhan syarikat multinasional (MNC) mengenai kekurangan bakat tempatan pada peringkat tertinggi, Zambry berkata di peringkat KPT perkara itu antara diberi keutamaan dalam pelan reformasi pendidikan yang sedang digerakkan.”Menerusi pelan ini, kita buka ruang baharu dalam kurikulum pendidikan. Itu paling utama, iaitu kampus bukan lagi tempat untuk mereka belajar.

“Misalnya kalau syarikat kejuruteraan memerlukan jurutera dalam kalangan pekerja Malaysia, ia boleh diaturkan mengikut keperluan industri berkenaan,” katanya.

Tambahnya, usaha itu dibuat secara kerjasama dengan tiga lagi kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.Maknanya, kerajaan tidak lagi hanya berada dalam kepompong satu kementerian, sebaliknya mengadakan kerjasama antara beberapa kementerian.

“Empat kementerian ini termasuk KPT menjadi teras utama dalam menyediakan tenaga kerja mahir untuk negara kita.

“Jadi kita rancang bersama dan melihat dari segi keperluan, turut duduk bersama universiti (bagi tujuan itu),” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, syarikat MNC beroperasi di Malaysia melihat berlaku kekurangan pembabitan bakat tempatan pada peringkat tertinggi.

Sehubungan itu, Anwar menyeru penyertaan lebih besar sektor swasta dalam pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan latihan teknikal kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan lagi pembangunan bakat di negara ini. – Berita Harian

Exit mobile version