SelangorToday

Menteri KUSKOP Akan Serah Surat Letak Jawatan Kepada PM

Majlis Sidang Media Prestasi PMKS 2022. DATUK SERI DR. MOHD UZIR MAHIDIN , DATUK SERI SURIANI DATUK(Sec-Gen of KUSKOP) DATUK EWON BENEDICK , TAN SRI DATUK SERI BERNARD GILUK DOMPOK(Chair of SMECorp) AHMAD RIZAL BIN NAINY(CEO of SMECorp) —LOW BOON TAT/THE STAR

KOTA KINABALU, 8 November 2025 – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengumumkan akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan keputusan beliau meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Ewon menjelaskan keputusan itu dibuat berasaskan prinsip perjuangan UPKO untuk memastikan pelaksanaan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya pelaksanaan hak 40 peratus hasil negeri Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society menunjukkan kegagalan menghormati sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Pendirian dan pandangan AGC yang mengabaikan asas sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia, sangat bertentangan dengan prinsip perjuangan UPKO,” katanya.

Menurut beliau, AGC sebagai penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendekatan yang tidak selari dengan perjuangan hak Sabah, dan keadaan itu menjadikannya “sangat janggal” untuk terus berada dalam Kabinet.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian AGC tersebut. Berdasarkan penghakiman bertulis itu, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu kepada Perdana Menteri yang lebih menghormati hak Sabah. Oleh itu, saya berpegang kepada prinsip saya dan akan menghantar surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri,” tegas Ewon.

Ewon turut mengulangi pendirian bahawa AGC sepatutnya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan hak 40 peratus tersebut.

Katanya lagi, perjuangan hak Sabah adalah prinsip asas penglibatannya dalam politik dan menjadi teras penubuhan UPKO.

“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah dilaksanakan. Itu adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik,” ujarnya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas ruang kebersamaan dalam Kabinet yang menurutnya memberi peluang untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan hak negeri Sabah.

Beliau memaklumkan akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan bagi membincangkan agenda “Sabah First” yang menjadi asas halatuju baharu parti itu selepas pengunduran beliau daripada Kabinet.

Exit mobile version