SelangorToday

‘MEREKA GILA TALAK PADA DAP’, MAT SABU TEMPELAK PROPAGANDA PN

Presiden AMANAH, Mohamad bin Sabu menegaskan bahawa propaganda yang dimainkan oleh PN khususnya PAS terhadap sentimen ketakutan kepada DAP merupakan sikap ‘gila talak’ parti tersebut kepada DAP. Mohamad berkata mereka yang menakutkan-nakutkan orang melayu kepada DAP kesemuanya pernah bersahabat dengan DAP. Malah PAS pernah bersama-sama dengan DAP dalam satu kerajaan selama dua penggal. Maka tohmahan PN itu hanyalah satu sandiwara sedangkan mereka sangat merindui DAP, sinis Mohamad. Namun beliau tetap membiarkan tohmahan tersebut kerana pembangkang berhak melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik sokongan pengundi.

Sebaliknya Mohamad yang juga pimpinan kanan HARAPAN berkata, tindakan menukar kerajaan dipertengahan penggal merupakan satu tindakan tidak wajar dan mampu merencatkan perkembangan negara. Beliau memberi contoh bagaimana Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berjaya membawa masuk pelbagai pelaburan dari luar negara. Ia bertitik tolak daripada keyakinan pelabur kepada kestabilan politik negara. Kerajaan Perpaduan yang mempunyai jumlah kerusi di Dewan Rakyat lebih 2 per 3 majoriti saling bertoleransi antara satu parti dengan parti yang lain. Inilah satu langkah yang mendatangkan lebih banyak hasil kepada negara sekaligus berjaya menaikkan paras gaji penjawat awam setelah 12  tahun tidak dinaikkan.

Dalam ceramah di Kuala Kubu Bharu, Mohamad berkata kementerian yang beliau terajui iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berjaya meningkatkan hasilnya lebih 4 peratus pada tahun lalu. Beliau turut berkata dengan kerjasama rakyat, peniaga, pembekal dan peternak serta petani, harga barang keperluan asas dimusim perayaan tidak naik mendadak dan berada pada paras murah. Mohamad berkata lagi, ramai yang tidak tahu bahawa Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan 50 ekar tanah di Sungai Besi sebagai rezab melayu. – SelangorToday

Exit mobile version