SelangorToday

MESKI BERBELANJA BESAR UNTUK RAKYAT, REZAB NEGERI SELANGOR TETAP BERTAMBAH

Rizab simpanan Selangor terus bertambah dan mencatatkan peningkatan setiap tahun sejak 2019 meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PH) membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk inisiatif kebajikan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata keadaan itu amat berbeza berbanding semasa pentadbiran Azmin Ali dari 2015 hingga 2018 yang didapati hanya menghabiskan rizab simpanan negeri tetapi perbelanjaan inisiatif kebajikan untuk rakyat tidak bertambah.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau berkata penyusutan rizab simpanan negeri dapat dilihat apabila Azmin mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2015 dengan rizab sedia ada berjumlah RM3.26 bilion sebelum menurun kepada RM3.05 bilion pada 2016.

Pengerusi PH Selangor berkata, jumlah rizab simpanan negeri terus merekodkan penurunan pada 2017 serta menyusut teruk tahun berikutnya iaitu masing-masing RM2.84 bilion dan RM2.14 bilion.

“Dulu masa pilihan raya Negeri, (Azmin) cakap zaman dia rizab rendah sebab dia belanja banyak. Marah dekat saya kononnya rizab tinggi tapi tidak berbelanja, sekarang nak dakwa kata zaman dia rizab tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Azmin bahawa rizab simpanan negeri mencecah lebih RM4 bilion ketika Adun Hulu Kelang itu mentadbir Selangor sebagai menteri besar.

Amirudin berkata, sejak mengetuai pentadbiran kerajaan negeri pada 2019, beliau berterusan berusaha menambah rizab simpanan negeri demi kebaikan generasi masa depan dan pada masa sama, memperbanyak inisiatif untuk kebajikan rakyat Selangor.

Beliau berkata, perbelanjaan inisiatif kebajikan rakyat dinaikkan kepada RM2.37 bilion, peningkatan lebih sekali ganda, berbanding RM1.3 bilion yang diperuntuk Azmin pada tahun sebelumnya selepas kerajaan PH berjaya menambah semula rizab negeri daripada RM2.14 bilion pada 2019 kepada RM2.45 bilion pada 2020.

“Rizab negeri terus bertambah kepada RM2.8 bilion dan RM3.29 bilion pada 2021 dan 2022 sebelum menambah RM3.4 bilion tahun lepas, rekod rizab tertinggi terhimpun sejak 2008,” katanya sambil menambah jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan RM1 bilion bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19 dan pembelian vaksin untuk rakyat Selangor.

Justeru, Amirudin meminta rakyat khususnya di Kuala Kubu Baharu tidak terkeliru dan termakan hasutan yang disifatkan sebagai bercelaru.

“Terbukti kerajaan perpaduan berhemah dalam berbelanja dan pada masa sama, mengutamakan kebajikan rakyat Selangor,” katanya. – FMT

Exit mobile version