Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal melancarkan memoir perjalanan hidupnya sebagai ahli politik di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur hujung bulan ini. Beliau yang menyertai kabinet Pakatan Harapan selepas membentuk kerajaan persekutuan pada Mei 2018 mengemudi kementerian Belia dan Sukan dari 20 hingga 22 bulan sahaja. Selain itu beliau merupakan Ketua Pemuda ARMADA BERSATU atau sayap Pemuda Parti BERSATU sejak parti itu ditubuhkan sehinggalah beliau keluar dari BERSATU. Dipersimpangan situasi politik semasa, Syed Saddiq menubuhkan Parti Malaysian United Democratic Alliance atau MUDA dan beliau sebagai Presidennya.
Melalui ciapan beliau diaplikasi X, Ahli Parlimen Muar yang menang pada tahun 2018 atas logo KEADILAN dan menang pada tahun 2022 setelah diberikan laluan oleh HARAPAN itu berkata buku memoir tersebut mengandungi kisah hidupnya yang menjangkau lebih 30 tahun seiring usianya. Buku yang mengandungi 300 muka surat itu mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan draf penulisanya oleh beliau sendiri. Segala pengalaman 2 tahun sedang menulis buku ini juga turut dicatatkan dalam memoir berjudul ‘Jalan Tegak’.
Syed Saddiq telah pun meletakkan jawatan sebagai Presiden MUDA setelah beliau dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dan denda RM5 juta. Namun mahkamah membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan. – SelangorToday