Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, antara parameter baharu yang diwajibkan, termasuk penyediaan ruang khas yang selamat, kalis bunyi dan dilengkapi pencahayaan malap bagi membantu individu autisme menenangkan diri sekiranya berdepan krisis deria atau tantrum.
“Untuk kementerian ini, melalui PlanMalaysia, telah diterbitkan satu panduan inisiatif persekitaran mesra autisme atau kita namakan sebagai PRISMA. Pada masa sama, dalam draf MS 1184:2025 yang terbaru, kita telah memperkenalkan Annex J iaitu berkaitan kemudahan mesra keluarga dan neuro-inklusif,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad mengenai parameter baharu bagi memastikan kediaman dan persekitaran mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) di Dewan Negara hari ini.