SelangorToday

MIMBAR JUMAAT SELANGOR LARANG UMAT ISLAM KELUAR ‘FATWA SENDIRI’

Melalui teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor itu mengingatkan para jemaah merangkumi seluruh umat Islam bahawa sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukanlah atas pandangan individu seorang mufti semata-mata, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang terdiri daripada alim ulama` dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing. Oleh itu, bukanlah semudahnya untuk sesuatu fatwa itu dikeluarkan lebih-lebih lagi ia dikeluarkan oleh individu yang berkepentingan mahupun ahli politik.

Dalam khutbah jumaat tersebut, khatib menjelaskan bahawa sesuatu fatwa itu hendaklah membawa kestabilan dan keamanan dalam sesebuah negeri mahupun negara. ia juga mestilah bersifat menyelesaikan masalah dan merungkai persoalan yang timbul. Sebaliknya bukanlah dijadikan fatwa jika sesuatu pandangan itu dikeluarkan oleh golongan tertentu seperti ahli politik, pelampau agama, sesat dan jahil yang pastinya pandangan tersebut mendatangkan perpecahan,keganasan, kekusutan serta mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Memikul amanah sebagai pengeluar fatwa juga bukanlah semudah yang disangka, malah ketakutan para ulama’ untuk bertindak mengeluarkan sebarang fatwa lebih tinggi daripada ilmu yang mereka peroleh. Malah jika pandangan yang dikeluarkan sewenang-wenangnya dianggap fatwa boleh merosakkan sesebuah masyarakat. Oleh itu mimbar jumaat mengingatkan agar fatwa bukanlah bicara biasa yang boleh dikeluarkan oleh sesiapa sahaja, umat Islam perlu mempertingkatkan ilmu masing-masing agar umat Islam lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan dan jika terdapat sebarang keraguan dalam memahami hukum, perlulah merujuk dan bertanyakan kepada pihak berautoriti Agama Islam. SelangorToday

Exit mobile version