SelangorToday

MINDEF FOKUS BANTU USAHAWAN KALANGAN VETERAN ATM – ADLY

Kementerian Pertahanan terus memberi fokus kepada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia sebagai usaha memartabatkan kerjaya kedua veteran tentera khususnya dalam bidang keusahawanan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program yang dilaksanakan melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) itu berperanan sebagai pemudah cara untuk mengenal pasti insentif keusahawanan yang diperlukan oleh usahawan veteran ATM.

Menurutnya, seramai 200 orang usahawan daripada kalangan veteran akan dibantu sepanjang tahun ini menerusi kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sesi dialog program Peduli Veteran Madani di Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang.

Pada majlis itu, sebanyak 100 orang veteran tentera daripada kalangan masyarakat Orang Asli menerima bantuan Bakul Rahmah berupa barangan keperluan harian.

Sementara itu katanya, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta.

Sehingga 30 April lepas, seramai 28,828 veteran telah menerima faedah tersebut dengan menerima bantuan bulanan sebanyak RM300. – Berita RTM

Exit mobile version