Badan Perhubungan UMNO negeri ini akan akur dengan segala keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) berhubung kerjasama mereka dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan menerima segala keputusan yang dibuat majlis tersebut, seperti keputusan yang dibuat mereka sebelum ini.
“Sebagai seorang ahli parti, saya mesti akur dengan apa-apa keputusan yang dibuat kepimpinan parti. Jadi, kita tunggu dan lihat dengan apa-apa keputusan yang dibuat mereka,” katanya ringkas selepas melawat majlis pengagihan bantuan kepada mangsa banjir pada Disember lalu, di Dewan Dato’ Penggawa, di sini hari ini.
Minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerjasama dengan Pas perlu dilupakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurutnya, UMNO telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada Pas untuk mempersetujui beberapa perkara yang terkandung dalam piagam MN, namun gagal mencapai kata sepakat.