AMANAH Selangor menyokong penuh langkah Kementeri Pendidikan Malaysia(KPM) yang memperkenalkan Modul Penghayatan 40 Hadis Imam Nawawi serta program-program penghayatannya di sekolah-sekolah Malaysia. Program yang akan mula dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan itu perlu disokong oleh semua pihak memandangkan jaminan KPM bahawa pelaksanaannya melibatkan orang Islam sahaja. Melalui satu kenyataan, Hj Shamsul Ma`arif bin Ismail yang juga Naib Pengerusi AMANAH Selangor berkata, pelaksanaan modul ini akan menjadi tunjang kepada pengukuhan aspek ‘Karamah Insaniah’ yang menjadi salah satu teras keutamaan KPM.
Tambahan lagi, bantahan yang dilakukan oleh pihak Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois(MCCBHST) adalah tidak wajar memandangkan dakwaan mereka bahawa pelaksanaan modul penghayatan ini melanggar Perlembagaan Persekutuan. Hj Shamsul yang juga Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional berkata lagi, sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama persekutuan manakala agama lain bebas diamalkan maka kerajaan berhak untuk mengadakan dasar-dasar mengukuhkan kefahaman orang Islam tanpa menggangu masyarakat bukan Islam.
Beliau berkata, mendukacitakan apabila PAS gagal mempertahankan dasar baik ini pada peringkat awal dan hanya memberikan pandangan beberapa hari setelah polemik ini dibangkitkan. Lebih malang lagi, PAS hanya berani memberikan amaran kepada NGO dan MCA serta DAP atas bantahan ini namun bersikap lunak dengan GERAKAN yang terang-terang dari awal membantahnya. Malah sepatutnya kesediaan Hj Hadi untuk mengadakan dialog dengan pemimpin GERAKAN berkaitan isu ini perlu turut melibatkan parti-parti politik yang lain agar bukan PAS hanya bersikap garang dengan pihak lawan sahaja, tetapi menikus dengan rakan komponen. – Selangor Today