SelangorToday

MODUL INTERVENSI PEMBELAJARAN ANAK ISTIMEWA DIBANGUNKAN, JADI RUJUKAN IBUBAPA

Selangor akan mengorak langkah setapak ke hadapan apabila sebuah modul intervensi dalam pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas bakal dirangka dan diwujudkan. Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dalam satu postingnya berkata, modul yang dirangka merupakan hasil dapatan yang diperoleh oleh pihak Universiti Teknologi MARA(UITM) dan Permata Kurnia sebagai sebuah organisasi yang memberi fokus kepada pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

Tambah Ahli Dewan Negeri Taman Templer itu, dalam satu permukiman yang telah dijalankan oleh Jabatan Anak Istimewa Selangor(ANIS), UITM dan Permata Kurnia telah membentangkan modul mereka.  Modul yang bukan sahaja menumpukan kepada intervensi pembelajaran kanak-kanak ini turut menumpukan kepada kesedian dan peranan ibubapa dalam menguruskan anak istimewa ini. Besar harapan Anfaal modul yang bakal menjadi modul utama pembelajaran intervensi kanak-kanak berkeperluan khas di Selangor ini akan membantu ibubapa yang dianugerahkan anak istimewa.

Timbalan Ketua Wanita AMANAH turut menegaskan bahawa kerajaan negeri melalui Jabatan ANIS akan melakukan sehabis baik bagi membantu keluarga yang mempunyai anak istimewa. Ini juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam menyantuni semua kelompok termasuk kelompok minoriti. Aspek pembangunan dan kesejahteraan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak di Selangor. Anfaal mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan ANIS dan Majlis Penasihatnya atas komitmen ini. – SelangorToday

Exit mobile version