SelangorToday

MOHAMAD SABU ARAH FAMA KENAL PASTI KAWASAN TERJEJAS KEKURANGAN SAYUR

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah diarah mengenal pasti kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan bekalan sayur, bagi membolehkan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mengerakkan segera jentera bekalan sayur untuk dipasarkan di kawasan terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAFS akan membuat kajian data supaya tempat yang mengalami kekurangan bekalan itu dapat dihantar dengan bekalan sayur dari kawasan yang mempunyai lebihan stok.

“Kita harap perkara ini dapat diatasi dengan segera,” katanya ketika ditemui di program lawatan ke loji pemprosesan sarang burung walet milik Asiawalit Resources Sdn Bhd di Taman Perindustrian Pusat Bandar Puchong, dekat sini pada Selasa.

Sejak minggu lepas, beberapa negeri dilaporkan mengalami kekurangan sayur-sayuran tertentu susulan hujan lebat berterusan dan banjir menjejaskan ladang sayur di Johor, Pahang dan Perak, yang menyebabkan harganya melonjak di beberapa tempat termasuk di Melaka, yang mencatatkan peningkatan harga 10 hingga 20 peratus.

Sementara itu, Mohamad berkata, bekalan bahan mentah seperti telur dan ayam di pasaran pada masa ini secara umumnya mencukupi dan stabil dengan harga masih dapat dikawal.

“Cuma menjelang Ramadan ini, kita sedang melihat isu bekalan daging kerana selalunya dalam tempoh itu, ramai yang akan membuat kenduri di masjid-masjid dan sebagainya. Oleh itu keperluan bekalan daging perlu ditingkatkan bagi menampung permintaan sepanjang Ramadan hingga ke Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan lawatannya hari ini cukup bermakna ketika kerajaan mengharapkan lebih banyak perusahaan sarang burung walet diwujudkan bagi memenuhi eksport tinggi dari China selain untuk menyediakan peluang pekerjaan.

“Kita tahu negara China penduduknya ramai serta mampu, dan kita boleh mengeksport apa sahaja kepada negara mereka selagi mengikuti peraturan kesihatan yang ditetapkan,” katanya.

Exit mobile version