Malaysia dan Indonesia akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang sekuriti makanan menerusi perdagangan agromakanan serta kerjasama teknikal pertanian bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara berkenaan turut bersedia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pertanian termasuk kerjasama di bawah platform serantau ASEAN.
“Dalam hubungan ini, Indonesia merupakan Pengerusi ASEAN bagi 2023 manakala Malaysia ialah tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) ke-45 pada tahun ini.
Dalam pertemuan berkenaan, kenyataan itu menyebut Mohamad dipelawa ke Indonesia bagi melihat dengan lebih dekat kejayaan pembangunan industri padi yang telah mencapai 100 peratus bagi Tahap Sara Diri (SSL) untuk menampung keperluan dan penggunaan beras domestik negara berkenaan.
Selain itu, Indonesia juga bersedia untuk mengeksport jagung bijian dan produk ternakan seperti daging, susu dan telur ayam bagi memenuhi keperluan Malaysia.
Pertemuan hari ini turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS, Datuk Azah Hanim Ahmad serta pegawai kanan kementerian selain wakil Kedutaan Indonesia di Malaysia.