
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa kempen berunsur fitnah tidak seharusnya menjadi strategi politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. Beliau menyeru semua pihak, khususnya parti pembangkang, agar berkempen secara beretika dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar demi meraih sokongan pengundi.
“Takpalah kalau nak kritik kelemahan kerajaan, itu biasa dalam politik. Tapi kita harap kempen tidak berunsur fitnah. Saya pun pernah jadi pembangkang dulu, kita kritik tetapi kita juga beri cadangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Jentera Pilihan Raya Amanah – PRK N.48 Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, semalam.

Beliau turut mengulas tindakan sekumpulan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang membawa sepanduk sindiran dan karikatur yang didakwa merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, semasa hari penamaan calon.
Mohamad Sabu turut menegaskan bahawa dakwaan pembangkang kononnya Islam di negara ini terancam adalah retorik lapuk yang tidak lagi relevan.
“Pembangkang sudah ketandusan modal apabila terus memainkan isu Islam terancam. Perkara ini telah dijelaskan berulang kali oleh kerajaan dan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menakut-nakutkan pengundi,” ujarnya lagi.

Dalam PRK kali ini, Amanah diberi tanggungjawab untuk membantu mengukuhkan sokongan pengundi kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir, di lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Tanjung Keramat, Ayer Kuning, Ayer Kuning Selatan, Sungai Kroh dan Batu Tiga.
Mohamad Sabu menyatakan keyakinan bahawa jentera Amanah mampu menjalankan tugas dengan berkesan dalam menepis dakyah pembangkang serta memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik BN.
PRK DUN Ayer Kuning yang dijadualkan berlangsung pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr. Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd. Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.