SelangorToday

MOHAMAD SABU BIMBANG FAHAMAN EKSTREMIS KEMBALI BERLELUASA

Timbalan Pengerusi HARAPAN, Mohamad Sabu menyatakan kebimbangannya dengan penularan semula fahaman ekstremis dalam masyarakat. Pilihan Raya Umum yang diadakan bulan lalu dijadikan platform sebilangan pihak untuk mencapai kemenangan dengan menggunakan isu perkauman sempit. Kata Mohamad yang juga Presiden AMANAH, negara-negara luar hancur akibat amalan takfiri yang sukar dibendung. Apa yang berlaku di Syria, Iran, Iraq dan Somalia bergaduh berpuluh-puluh tahun akibat fahaman seperti ini. Beliau juga mengingatkan PAS sebagai sebuah parti berasaskan Islam agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan memandangkan negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.

Bekas Menteri Pertahanan itu merujuk kepada video ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengingatkan umat Islam sama ada mahu menjadi ‘pengembala lembu’ atau ‘pengembala babi’. Apakah ini cara kita berpolitik di zaman ini? Soal Mohamad Sabu. Tegas beliau lagi, kita seharusnya memperbaiki keadaan negara memandangkan negara dihuni oleh pelbagai kaum dan agama. Beliau berucap ketika menyampaikan ceramahnya di Rompin sempena Pilihan Raya kecil DUN Tioman. Ceramah beliau itu buat pertama kalinya diadakan bersama BN selepas AMANAH mewakili HARAPAN memberi laluan kepada calon BN. Tambah Mohamad lagi kesediaan HARAPAN bergabung membentuk kerajaan perpaduan bersama BN,GPS,GRS dan WARISAN merupakan satu usaha memulihkan semula kedudukan politik,ekonomi dan daya saing Malaysia akibat kucar-kacirnya politik 2 tahun  lalu.

Ahli Parlimen Kota Raja itu yang mendapat undi majoriti tertinggi dalam Pilihan Raya Umum lalu mengingatkan jangan sampai kita kembali pada tahun 80an apabila amalan mengtakfirikan UMNO dilakukan sewenang-wenangnya. Mengulas berkaitan kedudukan beliau dalam kabinet Anwar Ibrahim, beliau hanya menjawab terserah kepada PM dan beliau tidak mengetahui sama ada beliau disenaraikan atau tidak dan jika tersenarai apakah posisi yang sesuai. – Selangor today

Exit mobile version