SelangorToday

MOHAMAD SABU JAWAB POLEMIK TENDER TELUR IMPORT YANG DIPOLITIKKAN

Kerajaan tidak memberikan subsidi mahupun menggunakan sebarang dana awam untuk diberikan kepada syarikat pengimport telur ayam di negara ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan hari ini berkata sebarang perbelanjaan dan risiko dihadapi syarikat pengimport telur ayam itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak berkenaan.

Katanya, ini kerana kerajaan hanya memberikan subsidi telur ayam itu kepada syarikat pengeluar tempatan dan kebenaran untuk mengimport telur ayam itu hanya bersifat sementara kerana ia boleh ditamatkan bila-bila masa sebaik sahaja bekalan itu kembali stabil dan pulih di negara ini.

“Pada 6 Disember lalu, Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak Oktober lalu.

“Maka kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun ini diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd serta syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan memberi kontrak import telur dari India, secara rundingan terus kepada sebuah syarikat milik peniaga permaidani.

Dakwanya, pemberian kontrak secara terus itu ternyata bercanggah dengan janji Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, MAFS berkata tindakan membawa masuk telur ayam dari luar itu kini dilihat membuahkan hasil apabila terdapat lebihan telur ayam berbanding sebelum ini.

Menerusi data oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), ia menunjukkan pada Oktober tahun lalu, negara ini berdepan kekurangan telur ayam sebanyak 118,272,070 biji, diikuti November (157,543,291) serta Disember (1,282,094).

Namun pada Januari tahun ini, terdapat pertambahan telur ayam sebanyak 160,649,928 biji.

Dalam pada itu, MAFS memaklumkan segala pengimportan telur ke negara ini perlu melalui beberapa proses bagi memastikan bekalan yang diterima bersih, selamat dan bebas daripada sebarang penyakit.

“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) dan DVS melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara dengan cara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini. Justeru itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport haiwan dan produk haiwan perlu merujuk kepada DVS untuk memastikan negara sumber berkenaan tersenarai dalam negara yang diluluskan.

“Bagi negara yang belum diluluskan, Analisa Risiko Import perlu dijalankan terlebih dahulu. Setelah melepasi analisa dan ia diluluskan di peringkat kementerian, barulah produk berkenaan dibenarkan untuk diimport,” katanya.

Exit mobile version