Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu menegaskan komitmen Kementerian dalam memperkukuh industri padi dan beras negara menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk perasmian Kilang Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak di sini hari ini.
Kilang moden yang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu merupakan satu daripada usaha penting kementerian untuk meningkatkan kualiti benih padi tempatan dan seterusnya hasil pengeluaran nasional.
Menurut Mohamad Sabu, kilang yang dilengkapi teknologi pemprosesan terkini ini berupaya menghasilkan 250,000 beg benih padi sah setahun, yang bakal memberi manfaat langsung kepada lebih 16,000 pesawah di negeri Perak.

“Kilang ini bukan sahaja membantu meningkatkan hasil padi, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan menjana pertumbuhan ekonomi luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, KPKM tahun ini memberi fokus kepada dua agenda utama—iaitu reformasi industri padi dan beras serta peningkatan pengeluaran daging lembu dan kerbau.
Dalam sektor padi, kementerian menyasarkan peningkatan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negara daripada 56% kepada sekurang-kurangnya 71% dalam tempoh terdekat. Ini akan dicapai melalui pelaburan dalam infrastruktur, pembangunan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak, pemulihan sawah terbiar, serta pengukuhan keseluruhan rantaian industri padi.
“Ini adalah usaha bersepadu untuk menjamin keterjaminan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import,” tegas beliau.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak serta barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang dan pegawai kanan KPKM.