Timbalan Pengerusi HARAPAN Nasional, Mohamad bin Sabu akan mengetuai calon-calon AMANAH yang mewakili HARAPAN di Negeri Selangor buat Pilihan Raya Umum kali ini. Mengadakan sidang medianya bersama pimpinan lain di Wisma AMANAH Negara pada Ahad, Mohamad yang sebelum ini merupakan wakil rakyat melayu yang mendapat undi majoriti paling tinggi di Malaysia akan mempertahankan kerusi Kota Raja. Pengumuman yang dihadiri oleh Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub(calon Pulai), Setiausaha Agung AMANAH, Dr. Mohd Hatta(calon Lumut) dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad(calon Titiwangsa) itu memadamkan segala khabar angin yang menyatakan Mohamad yang juga Presiden AMANAH itu akan berpindah tempat ke kerusi lain.
Keberadaan bekas Menteri Pertahanan itu di Selangor mampu mengukuhkan kedudukan HARAPAN di Selangor memandangkan HARAPAN memerlukan semaksima mungkin kerusi untuk dimenangi bagi membolehkan HARAPAN membentuk kerajaan di Putrajaya. Penyertaan Mohamad buat kali kedua di Selangor boleh mendorong orang ramai untuk keluar mengundi dan seterusnya mengundi HARAPAN. Selain Mohamad selaku tokoh besar dalam HARAPAN, Rafizi Ramli dan Amiruddin Shari juga antara tokoh besar yang akan beradu kekuatan di Selangor mewakili kerusi Pandan dan Gombak. Manakala Gobind Singh selaku peneraju DAP Selangor akan bertahan di kubu kuat mereka di Damansara.
Bagi kerusi Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly akan meneruskan perjuangannya memandangkan AMANAH Nasional berpendapat bahawa Dr. Dzulkefly masih diperlukan dalam pertempuran yang penting ini. Manakala bagi kerusi kerusi Shah Alam, Sepang dan Hulu Langat, AMANAH mencaturkan muka baru di sana iaitu, Hj Azli Yusof, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor menjadi calon di Shah Alam, Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah(calon Sepang) dan Sany Hamzan, pemidato terkenal AMANAH sebagai calon di Hulu Langat. AMANAH juga diberikan tanggungjawab untuk menawan Parlimen Sabak Bernam, oleh itu Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif dipertaruhkan disana. – Selangor Today