
SUBANG, 25 Mei 2025— Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyambut ketibaan Presiden Republik Indonesia, Yang Mulia Prabowo Subianto, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang petang ini.
Ketibaan Presiden Prabowo adalah sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Upacara sambutan rasmi turut diadakan dengan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), melibatkan dua pegawai dan 26 anggota, diketuai oleh Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.
Mohamad Sabu dalam kenyataannya menyatakan keyakinan bahawa kehadiran Presiden Prabowo akan terus memperkukuh hubungan strategik dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

“Hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia merupakan tunjang penting kepada kestabilan dan kemajuan rantau ini. Saya yakin, kehadiran Presiden Prabowo akan terus memperkukuh kerjasama strategik dua hala, sejajar dengan semangat ASEAN yang bersatu, aman dan progresif,” katanya.
Sidang kemuncak ini dijangka menghimpunkan pemimpin-pemimpin ASEAN untuk membincangkan pelbagai isu serantau termasuk kerjasama ekonomi, keselamatan dan kemampanan serantau.