SelangorToday

MOHAMAD SABU SERU LEBIH RAMAI RAKYAT MALAYSIA TERLIBAT DALAM INDUSTRI TANGKAPAN TUNA

Lebih ramai rakyat Malaysia perlu melibatkan diri dalam industri tangkapan ikan tuna memandangkan bilangan rakyat negara ini yang terlibat dalam industri itu masih rendah, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata buat masa ini hanya 11 vesel yang mengambil bahagian dalam industri berkenaan berbanding 74 vesel yang telah diperuntukkan oleh Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan itu.

“Projek ini amat besar dan boleh mendatangkan hasil pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakan termasuk pendapatan kepada negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

“Buat masa sekarang, kita hanya ada 11 vesel (yang terlibat), kita diberi kuota 74 oleh itu melalui ucapan saya ini, pihak yang ingin mengusahakan dengan modal yang besar boleh terlibat dalam tangkapan tuna ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang- Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk Paul Igal yang ingin tahu kuota vesel dan kejayaan serta penglibatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam industri berkenaan.

Beliau berkata Malaysia perlu menghantar laporan data berkenaan status sumber, pendaratan, bilangan vese kepada 1OTC setiap tahun dan penglibatan yang sedikit itu mencetuskan kebimbangan kepada industri dalam negara.

Exit mobile version