 
                Kuala Lumpur, 17 Julai – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, tampil tegas dalam usaha melindungi khazanah laut negara apabila mengumumkan bahawa Akta Perikanan 1985 (Akta 317) bakal dipinda secara menyeluruh.
Pindaan yang dijadual dibentangkan di Parlimen minggu hadapan itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan dan memberikan perlindungan lebih ketat terhadap sumber perikanan negara yang semakin terancam.
“Sudah tiba masanya kita perkasakan undang-undang ini. Laut bukan sekadar sumber makanan, tetapi warisan generasi. Kita mahu tangani peralatan yang merosakkan habitat laut, lindungi spesies marin terancam seperti penyu, dan pastikan hasil laut kita kekal selamat dan mampan,” tegas Mohamad Sabu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Kali Ke-40, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Akta sedia ada terlalu bersifat dasar dan longgar dari segi penguatkuasaan, justeru pindaan kali ini akan memberi kuasa lebih luas kepada pihak erkuasa tempatan serta memenuhi standard antarabangsa dalam pengurusan perikanan.

Antara langkah utama yang bakal diperkenalkan termasuk:
- Peningkatan penalti dan tindakan tegas terhadap pencerobohan nelayan asing dan tempatan.
- Penubuhan taman-taman laut sebagai zon perlindungan dan pemuliharaan ekosistem marin.
- Larangan penangkapan ikan di kawasan tercemar sehingga disahkan selamat dimakan.
- Sekatan lebih ketat terhadap penjualan penyu hidup bagi mengelakkan spesies tersebut pupus.
“Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan kegiatan yang menjejaskan kelestarian laut. Ini soal kedaulatan negara dan masa depan generasi nelayan kita.” ujar beliau dengan nada tegas.
Pindaan ini dijangka membuka lembaran baharu dalam landskap perundangan sektor perikanan negara, di bawah kepimpinan Mohamad Sabu yang semakin lantang mengangkat isu keterjaminan makanan dan kelestarian sumber laut Malaysia.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            