SelangorToday

MOHAMAD SABU TEPIS DAKWAAN GELOMBANG PN TULAR KE JOHOR

AMANAH yakin pengundi Melayu di Johor khususnya Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan kekal setia menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri ini bulan depan.

Sehubungan itu, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata cakap-cakap politik kononnya gelombang Perikatan Nasional (PN) akan menular ke Johor hanyalah omong kosong pembangkang.

“PH yakin mampu mengekalkan kemenangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dengan kemenangan selesa.

“Soal peningkatan atau pengurangan majoriti letak tepi dahulu. Apa yang penting PH dan Barisan Nasional (BN) memperkukuhkan jentera bersama untuk mencapai kemenangan selesa.

“Lagi pula di Johor kita tak nampak rakyat yang terlalu pro atau obses pada PN atau PAS, oleh itu PH yakin pengundi Melayu akan kekal setia bersama PH. Pandangan undi orang Melayu akan beralih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini hanya tanggapan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengenalan calon PH bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di sini

Sabtu lalu, Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat, diumum calon parti itu mewakili PH bagi PRK Parlimen Pulai yang akan berlangsung 9 September ini.

Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, pula diumum calon bagi DUN Simpang Jeram.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata, rakan gabungan PH iaitu DAP dan PKR sudah memberikan komitmen bagi memastikan kemenangan dua calon AMANAH yang diturunkan mewakili gabungan itu.

“BN yang menjadi rakan baharu PH juga sudah memberikan komitmen bagi membantu jentera PH bagi memastikan kita dapat mengekalkan kemenangan di dua kerusi berkenaan,” katanya.

Exit mobile version