Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Hj Mohamad bin Sabu telah mengumumkan beberapa langkah strategik dalam memastikan harga ayam yang diapungkan stabil dan berbaloi untuk dibeli oleh pengguna. Sidang media yang beliau pengerusikan pagi ini, bagi memastikan bekalan ayam mencukupi di pasaran, kerajaan akan memperkasakan program Agro Madani dan Jualan Rahmah untuk memberikan ruang kepada pengguna membuat pilihan serta memastikan harga pasaran sentiasa stabil. Kerajaan juga telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri untuk menjamin harga ayam di peringkat ladang agar tidak berlaku kenaikan harga yang ketara. Peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula, akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan tiadanya aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peruncit.
Melalui Belanjawan Madani 2024, Kerajaan Perpaduan telah mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar sekaligus menamatkan inisiatif pemberiaan susbidi dan kawalan harga bagi ayam. Penamatan subsidi ayam mampu memberi penjimatan kepada perbelanjaan kerajaan memandangkan sejak februari 2023, Presiden AMANAH itu memaklumkan kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM3.8 bilion bagi subsidi ayam. Selain itu, rasionalnya penamatan subsidi ayam adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi memandangkan ketika ini, melalui kaedah subsidi pukal, warga asing dan golongan berpendapatan tinggi turut menikmati manfaat subsidi tersebut.
Sidang media yang turut disertai oleh agensi-agensi lain termasuk Kementeri Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Ekonomi itu memaklumkan bahawa subisidi telur bagi gred A,B dan C akan diteruskan, manakala subisidi ayam akan ditamatkan melalui 1 November 2023. Tambah Ahli Parlimen Kota Raja itu, penamatan subsidi ayam ini telah pun mengambil kira kedudukan semasa apabila kos pengeluaran ayam telah kembali stabil. – SelangorToday