SelangorToday

MOHAMAD SABU UMUM RM50 JUTA BANTU NELAYAN, PETANI, PELADANG, PENTERNAK TERJEJAS BANJIR

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Bencana Pertanian untuk memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada kerugian akibat bencana banjir kepada petani, penternak, peladang dan nelayan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima, anggaran jumlah kerugian oleh sektor agromakanan di Kelantan sahaja menjangkau lebih RM20 juta yang melibatkan 1,875 orang.

“Antara kawasan yang teruk terjejas adalah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sentuhan Agro Madani Kelantan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Terdahulu, Mohamad turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada lebih 200 golongan petani, peternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, inisiatif KPKM penting dalam membantu kumpulan sasar yang terkesan banjir untuk bangkit semula supaya dapat menyumbang kepada pertumbuhan sektor tanaman dan agromakanan negara.

Katanya, skop keterjaminan makanan bukan sahaja di bawah tanggungjawab KPKM semata-mata tetapi melibatkan peranan semua pihak selaras dengan konsep ‘Keterjaminan Makanan Adalah Tanggungjawab Bersama’.

“Bagi mengukuhkan lagi keterjaminan makanan, sejumlah RM400 juta disediakan di bawah Belanjawan 2024 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif khusus dengan fokus meningkatkan pengeluaran domestik dan kadar sara diri komoditi makanan utama.

“Daripada jumlah itu, RM150 juta diperuntukkan untuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan,” katanya.

Beliau berkata, salah satu perancangan jangka masa panjang KPKM adalah untuk membina dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi di luar jelapang yang berpotensi untuk dibangunkan tanaman tersebut sebanyak dua kali setahun, justeru kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan. – Bernama

Exit mobile version