Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, bagaimanapun mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan sepanjang MTL dengan menaikkan harga ikan.
Katanya, bekalan ikan adalah mencukupi dan tidak sepatutnya berlaku kenaikan harga memandangkan peniaga dapat mengimport bekalan ikan tertentu dari Thailand dan India.
“Apa yang saya nak tekankan adalah bekalan ikan mencukupi dan yang menjual ikan adalah peniaga bukannya nelayan.
“Sehingga kini, sebanyak 2,664 lesen import yang aktif dikeluarkan LKIM kepada peniaga dan melalui import berkenaan menjadikan bekalan ikan mencukupi termasuk musim MTL di mana nelayan tidak dapat turun ke laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Faiz berkata, LKIM menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) juga mempunyai 1,600 metrik tan ikan sejuk beku untuk menampung bekalan di pasaran seluruh negara.
“Kita akan sentiasa memantau rapi berhubung bekalan ikan dan berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan membebankan rakyat,” katanya. – Berita Harian