KUALA LUMPUR, 23 Okt — Syahredzan bin Johan, Ahli Parlimen bagi kerusi Bangi (P102), menegaskan bahawa tindakan mana-mana pihak yang menyamakan rakyat bukan Melayu dan bukan Islam di Malaysia dengan rejim zalim Israel adalah keterlaluan dan tidak wajar. Beliau menegaskan komitmen untuk mempertahankan semangat perpaduan dalam negara majmuk ini.
Ketika membahaskan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata:
“Datuk yang Dipertua, saya nak ingatkan kepada para politikus yang menyamakan bukan Melayu dalam negara kita ini dengan rejim zalim Israel, warga Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam bersama sama dengan orang Melayu dan orang Islam untuk membina negara ini.”
Syahredzan menegaskan bahawa masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam turut menumpahkan darah, keringat dan air mata untuk negara ini:
“Orang bukan Melayu, bukan Islam tumpahkan darah, keringat dan air mata untuk negara ini, tergamak awak ludah pada sumbangan mereka, tergamak awak gambarkan mereka macam musuh, tergamak awak samakan mereka dengan rejim Israel yang terkutuk.”

Beliau menegaskan bahwa kepelbagaian budaya, agama dan bangsa adalah kekuatan Malaysia yang mesti dipelihara dan dihormati:
“Saya kecam kenyataan ini, dan saya akan sentiasa mempertahankan kepelbagaian budaya, agama dan bangsa Malaysia dalam negara yang kita cintai, berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini janji saya, dan dewan ini menjadi saksinya.”
Ucapan beliau turut mendapat perhatian di kalangan ahli Dewan yang menghargai seruan untuk mempertahankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.