HULU LANGAT — Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Hj. Mohd Sany Hamzan menegaskan bahawa tindakan segera telah diambil berhubung dakwaan penganjuran program berunsur LGBT songsang yang dirancang untuk diadakan di kawasan Parlimen Hulu Langat.
Menurut beliau, pihaknya telah mengambil maklum sepenuhnya kebimbangan masyarakat yang disuarakan berkaitan perkara tersebut dan tidak memandang ringan isu yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta menjejaskan keharmonian sosial.
“Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis selain mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) selaku Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau turut menegaskan pendirian tegas mengutuk sebarang bentuk penganjuran, promosi atau normalisasi amalan LGBT yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam, norma masyarakat, budaya tempatan serta undang-undang sedia ada di negara ini.
Dalam kenyataan sama, Mohd Sany mengingatkan bahawa Islam dengan jelas menolak perbuatan songsang sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A‘raf ayat 80–81 berkaitan kisah Nabi Lut AS, yang menjadi peringatan jelas terhadap perbuatan melampaui batas.
Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan tanggungjawabnya untuk mempertahankan akidah, moral dan keharmonian masyarakat, khususnya bagi memastikan Hulu Langat kekal sebagai kawasan yang berpegang teguh kepada nilai agama dan adab ketimuran.
Tambah beliau, satu pertemuan akan diadakan bersama pemilik chalet yang terlibat dengan kehadiran pihak berwajib bagi mendapatkan penjelasan serta menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus.
“Saya memberi jaminan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa masuk atau mempromosikan agenda yang merosakkan akhlak, mencabar sensitiviti umat Islam dan menggugat keharmonian sosial,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang ramai agar bertenang, tidak membuat spekulasi dan terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, sambil bersama-sama mempertahankan nilai agama, undang-undang dan kesejahteraan masyarakat Hulu Langat.

