Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan menyeru kerajaan mengkaji semula harga pengambilan lesen kereta dan motorsikal. Hal ini demikian kerana, Sany berkata ramai anak-anak remaja zaman ini mengeluhkan akibat harga pengambilan lesen terlalu mahal menyebabkan mereka tidak mampu mengambilnya. Natijahnya akibat harga yang terlalu mahal, anak-anak remaja kita memilih untuk membawa motorsikal dan kereta tanpa lesen sedangkan ia jelas melanggar undang-undang jalan raya. Sany berkata demikian di Dewan Rakyat ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Yang Dipertuan Agong sempena pembukaan penggal ke-15 Parlimen Malaysia.
Selain membangkitkan soal harga lesen, Sany juga mengemukakan keluhan rakyat berkaitan pelaksaan pembayaran tol lebuhraya yang semakin menyulitkan keadaan. Tambah beliau yang juga Timbalan Ketua AMANAH Hulu Langat itu, aplikasi yang digunakan untuk membuat pembayaran di tol sangat lembab dan sukar menyebabkan lebuhraya bertambah sesak berbanding sebelum-sebelum ini yang menggunakan bayaran secara manual. Sany juga mahu kerajaan menetapkan harga lantai kepada perkhidmatan grab agar tidak berlaku diskriminasi antara pemandu grab dan syarikat grab itu sendiri.
Masa yang terhada dalam tempoh perbahasan, Sany juga mahu Rukun Negara yang menjadi teras kerukunan hidup di Malaysia ini diperkasakan penghayatannya dengan menyebar luaskan prinsip Rukun Negara. Pemerkasaan ini amatlah diperlukan memandangkan tahap suhu politik perkauman yang tinggi pasca PRU ke-15. – Selangor Today