Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ‘menoktahkan’ perdebatan panas antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang berkenaan isu perarakan Hari Wanita yang didakwa sebagai perarakan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual dan Pelik (LGBTQ).
Keadaan dewan panas apabila Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas-PH), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa- PN) dan Wan Razali Wan Nor (Kuantan-PN) berdebat berkenaan perarakan itu.
Johari bertanya kepada Wan Razali sama ada beliau yakin perarakan tersebut melibatkan golongan LGBTQ namun beliau tidak dapat memberikan kepastiannya.
“Saya dengar di chamber (bilik) tadi, adakah Kuantan (Wan Razali) pasti Women’s March itu adalah (perhimpunan) LGBT?
“Yang lain diam dulu, saya nak dapat jawapan beliau terlebih dahulu, itu saja. Are you sure (Adakah kamu pasti)? Saya nak tanya kalau pasti kata pasti, kalau tidak kata tidak.
“Adakah perarakan itu adalah (perarakan) LGBT atau (perarakan) Women?,” soalnya.
Wan Razali pada awalnya menjawab ‘ya’ namun kemudian menarik balik kenyataannya itu selepas Johari memberitahu beliau akan semak berkenaan hal itu.
“Anda jawab pasti, sekiranya saya semak dan ia menunjukkan sebaliknya, kamu akan dikenakan tindakan,” katanya.
Ekoran kenyataan itu, Wan Razali serta-merta memberitahu dewan bahawa beliau tidak pasti berhubung perarajab tersebut dan menarik semula kenyataan itu.