Isu berkaitan kenaikan harga kit ujian pengesanan kendiri Covid-19 (RTK-Ag) dan proses vaksinasi antara dibangkitkan beberapa ahli parlimen pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Tiitah Diraja di Dewan Rakyat. Steven Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) mencadangkan kerajaan menetapkan harga kit RTK-Ag di bawah RM5 dan memberi subsidi bagi ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) dengan menetapkan harga di bawah RM100.
Beliau berpendapat sekiranya negara serius untuk memasuki fasa endemik, akses rakyat kepada segala keperluan bagi menghadapi wabak itu perlu dipermudahkan. Katanya selain kit ujian, antara keperluan penting lain termasuk pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan oksimeter.
Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menetapkan harga siling runcit kit ujian kendiri berada pada paras yang mampu dibeli golongan M40 dan B40. Beliau berkata ia menyebabkan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu membeli kit ujian tersebut sekali gus menjejaskan usaha mengawal pandemik COVID-19.
Justeru katanya KPDNHEP perlu menyemak semula penetapan harga siling tersebut di bawah RM10 atau RM5 supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga apabila permintaan tinggi akibat penularan mendadak kes Covid-19. Kerajaan pada September lepas menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian RTK-Ag pada harga RM19.90 daripada RM39.90.