Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menolak dakwaan yang diperkatakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional bahawa kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim gagal menangani isu kos sara hidup rakyat. Jelas Suhaizan, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat, namun ia mungkin memerlukan masa untuk kesan baiknya dirasai semua pihak. Malah Suhaizan melihat langkah untuk memulihkan ekonomi negara amat mencabar memandangkan konflik global sentiasa berlaku secara berterusan.
Pada Selasa, Mahiaddin mengkritik cara Anwar Ibrahim mengendalikan ekonomi, mendakwa Anwar lebih mengambil berat untuk menundukkan lawan politiknya daripada menangani perkara seperti kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan ringgit. Ahli Parlimen Pagoh itu berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara hanya berkembang 3.8% mengikut anggaran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan minggu lepas, meleset unjuran antara 4-5%.Tambahnya, angka perdagangan Malaysia juga berada dalam aliran menurun sejak Mac 2023 dan penarikan subsidi tahun ini bersama kenaikan cukai dan tarif elektrik akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup.
Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH itu menambah, sebelum ini tiada peperangan yang berlaku khususnya di timur tengah. Pastinya ia mendatangkan kesan kepada keadaan ekonomi dunia. Maka waktu ini pemulihan ekonomi negara amat mencabar. Suhaizan memberi contoh apa yang berlaku di Laut Merah, gangguan di lorong perkapalan akan menyebabkan kenaikan harga barang. Ini semua cabaran yang kerajaan sedang hadapi sambil diiringi dengan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup pada rakyat. – SelangorToday