SelangorToday

MP SEPANG AKAN BAWA ISU KEPADATAN MURID SEKOLAH KE PERHATIAN PM SEGERA

Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah bin Sabu telah mengadakan perbincangan segera dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Sepang semalam bagi melihat status terkini kepadatan murid sekolah di daerah tersebut. Dalam masa yang sama, Aiman komited untuk membantu pihak PPD dan KPM untuk mengatasi masalah kepadatan murid yang berlaku. Malah melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, Aiman telah pun menyuarakan isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya dan dibincangkan bersama pihak PPD Sepang. Isu ini juga dimajukan kepada Menteri Pendidikan.

Oleh itu, projek pembinaan Sekolah Kebangsaan 2 Cyberjaya yang telah pun dimulakan akan dijangka siap pada tahun 2028. Jelas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, PPD Sepang telah mengemukakan beberapa tindakan dan langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah tersebut termasuklah penyuraian pelajar ke beberapa sekolah berhampiran, rancangan penyediaan bangunan kelas kabin sementara menanti bangunan SK 2 Cyberjaya siap dan kewajaran menyewa bangunan sementara. Kesemua langkah tersebut telah dikemukakan kepada pihak KPM untuk dipertimbangkan.

Aiman yang juga Ketua Wanita HARAPAN menegaskan bahawa beliau akan sekali lagi membawa isu ini ke perhatian Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri agar langkah jangka pendek dapat dimulakan segera bagi mengatasi kepadatan murid. Beliau turut melihat sendiri ke lokasi cadangan awal bangunan sekolah sementera SK Cyberjaya 2 di CoPlace 13, Cyberjaya bagi merundingkan beberapa hal untuk kepentingan , kesejahteraan dan keselesaan anak-anak.  – SelangorToday

Exit mobile version