 
                KUALA LUMPUR, 24 Julai 2025 —
Dewan Rakyat | Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyambut baik pendekatan progresif Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam memperkasa advokasi hak asasi menerusi kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketika membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM bagi tahun 2023 di Dewan Rakyat hari ini, beliau memberi penekanan terhadap dua aspek penting — iaitu kerjasama SUHAKAM dengan JAKIM dalam penyediaan teks khutbah berkaitan hak asasi serta advokasi untuk golongan rentan.
Azli menyifatkan inisiatif menyediakan khutbah Jumaat yang menekankan nilai-nilai hak asasi dari perspektif Islam sebagai langkah positif yang mampu merapatkan jurang persepsi antara agama dan hak asasi manusia.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengangkat nilai-nilai hak sejagat tetapi juga memperlihatkan bahawa Islam adalah pelindung kepada kemuliaan manusia, seperti yang termaktub dalam Surah al-Isra ayat 70 dan khutbah terakhir Rasulullah SAW,” katanya.
Menurut beliau, mimbar Jumaat merupakan platform yang efektif dalam mendidik masyarakat tentang keadilan, kebebasan bersuara, tanggungjawab sosial serta penolakan terhadap kezaliman.

Dalam ucapannya, Azli turut menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman tidak sepatutnya dijadikan isu yang ditakut-takutkan.
“Nak berhimpun, berhimpunlah. Di stadium Kedah ke, Dataran Merdeka ke. Tak ada siapa yang halang. Tak perlu takut-takutkan kononnya polis atau FRU akan bertindak,” ujarnya.
Beliau juga memuji inisiatif SUHAKAM yang giat menganjurkan dialog bersama kementerian, agensi kerajaan dan NGO yang memfokuskan kepada wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta pekerja ekonomi gig.
“Usaha ini sejajar dengan prinsip maqasid syariah seperti menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” tambahnya.
Mengakhiri perbahasan, Azli turut membangkitkan isu warga pelarian Rohingya yang semakin ramai menetap di negara ini.
“Kerajaan perlu tampil dengan pendekatan yang jelas dan berperikemanusiaan bagi memastikan golongan ini tidak tercicir daripada perlindungan asas seperti yang dituntut dalam Islam,” katanya sebelum menamatkan perbahasan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            